Intel sedia mengumumkan perancangan pengenalan kad grafik tersendiri tidak lama lagi. Selain daripada pembangunan kad grafik, pihak Intel juga dilihat mempunyai perancangan yang lebih besar dalam arena permainan video.
Berkongsi melalui temuramah khusus, Raja Koduri yang mengetuai bahagian GPU di Intel turut mengatakan, mereka merancang untuk membolehkan pengguna berkongsi sumber GPU mereka bersama rakan lain.
Dengan ini, ia akan membolehkan seseorang memberikan akses kepada PC secara jarak jauh kepada rakan lain, sekaligus bermain permainan video melaluiya. Fungsi ini sedang dibangunkan, dan mungkin hadir dalam tiga empat tahun lagi.
Melalui perkongsian berkenaan, ia dilihat akan memudahkan pengguna bermain secara “remote” sekiranya tidak mempunyai kuasa yang mencukupi pada PC mereka.
Selain Intel, NVIDIA turut melihat kepada arena penstriman permainan – termasuk Google. Buat masa ini, ia tidak dikongsikan bilakah Intel akan memperkenalkan ciri berkenaan. Fokus kini lebih diberikan dalam pengenalan kad grafik generasi pertama mereka pada 2022 kelak.