ASUS Memanggil Semula Papan Induk Z690 Hero Yang Terkesan Dengan Isu Kapasitor Terbalik

Diterbitkan pada Dis 30, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Beberapa hari lalu, dunia PC tergempar dengan berita bahawa sejumlah papan induk ASUS ROG Maximus Z690 Hero yang terbakar secara tiba-tiba tanpa sebarang amaran. Ia dilihat bahawa isu ini berlaku kerana sejumlah papan induk tersebut didapati hadir dengan sebuah komponen kapasitor yang dipasang secara terbalik.

Isu ini menyebabkan ketirisan kuasa pada papan induk, dan walaupun ia tidak boleh dilihat secara awal, ia dilihat telah menyebabkan isu yang sangat serius dimana papan induk akan terbakar secara tiba-tiba kerana ketirisan kuasa ini. Walaupun serius, ia dilihat bahawa masalah ini hanya terhad kepada papan-papan induk tertentu, berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh ASUS.

ASUS

Menurut ASUS, papan induk yang terkesan dengan perkara ini hadir dengan nombor bahagian 90MB18E0-MVAAY0 dan nombor siri yang bermula dengan huruf MA, MB, atau MC. Untuk mereka yang terkesan dengan masalah kapasitor terbalik ini, ASUS dikatakan akan menggantikan papan induk Z690 Hero yang terkesan secara percuma, sama ada ia terlibat dalam isu litar pintas ataupun tidak.

Apabila kami bertanya kepada pihak ASUS Malaysia mengenai ini, kami diberitahu bahawa papan induk ASUS ROG Maximus Z690 Hero yang ditawarkan di Malaysia secara rasmi tidak terkesan dengan masalah ini kerana nombor bahagian untuk papan tersebut di sini mempunyai nombor 90MB18E0-“MUAY”, dan hadir dengan kapasitor yang dipasang secara betul.

Sumber: ASUS

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2022 Kami