Universiti Kyoto Kehilangan 77TB Data Penyelidikan Kerana Kesilapan Sistem Sandaran

Diterbitkan pada Dis 31, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Salah satu perkara yang paling menyakitkan untuk mereka yang bekerja dengan komputer ialah kehilangan data komputer yang tidak boleh dikembalikan semula. Inilah yang berlaku kepada 14 kumpulan penyelidik di Universiti Kyoto yang telah kehilangan 77TB data penyelidikan.

Bleeping Computer melaporkan bahawa kegagalan adikomputer dan sistem sandaran data Hewlett-Packard yang digunakan universiti tersebut telah menyebabkan 34 juta fail dengan saiz 77TB dipadamkan daripada sistem tersebut.

Daripada 14 kumpulan penyelidik yang terkesan dengan isu ini, ia disahkan bahawa data untuk empat daripada kumpulan tersebut dipadamkan bersama-sama dengan data sandaran, menyebabkan laporan dan data-data mereka tidak dapat dikembalikan lagi.

Kumpulan dan individu yang terkesan akibat isu ini telahpun dihubungi, tetapi ia dilaporkan juga bahawa pihak universiti tidak memberitahu setakat manakah isu ini membelenggu mereka. Buat masa ini, pihak Universiti Kyoto mengatakan bahawa mereka telah menghentikan penggunaan sistem sandaran sedia ada dan akan menutup penggunaan adikomputer tersebut sehingga penghujung bulan Januari 2022.

Perkara ini adalah untuk memasang sistem sandaran baru yang lebih komprehensif dan membolehkan pihak universiti untuk menggunakan sistem sandaran berkala yang akan memastikan bahawa pihak penyelidik akan mempunyai sandaran data sekiranya masalah sama berlaku sekali lagi.

Sumber: Bleeping Computer

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2022 Kami