Kemaskini Feature Drop Pixel 6 Ditunda Untuk Memperbaiki Isu Mutu Panggilan Suara

Diterbitkan pada Dis 31, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Sejak ia dilancarkan beberapa bulan yang lalu, Google Pixel 6 dilihat hadir dengan beberapa isu yang membelenggu peranti tersebut, daripada isu bateri, pengimbas cap jari yang perlahan, kamera bermasalah dan sebagainya.

Google sepatutnya memperlihatkan kemaskini Feature Drop pertama untuk peranti Pixel 6 pada bulan ini, tetapi dengan tahun 2021 bakal berakhir, mereka akhirnya mengesahkan penundaan kemaskini tersebut sehingga penghujung bulan Januari 2022 kelak.

Secara teknikalnya, kemaskini tersebut sudahpun mula dikeluarkan Google sepanjang bulan ini, tetapi ia hadir pada peranti-peranti Pixel 6 pengguna dengan kadar yang perlahan. Google mengesahkan bahawa terdapat sejumlah peranti Pixel 6 yang menghadapi masalah kualiti panggilan yang tidak memuaskan selepas mengemaskini peranti mereka.

Walaupun begitu, Google mengatakan tidak semua peranti Pixel 6 menghadapi masalah ini, dan bagi mereka yang terkesan, telah memberikan dua pilihan untuk pengguna memperbaiki isu ini. Penyelesaian pertama ialah untuk menunggu Google hadir dengan kemaskini untuk isu ini yang akan dikeluarkan menjelang penghujung bulan Januari kelak.

Kedua ialah pengguna Pixel 6 boleh menggunakan perisian Android Flash Tool untuk menggunakan sistem operasi Android 12 sebelum ini. Walaupun ini adalah penyelesaian paling cepat kepada masalah ini, pengguna akan dipaksa untuk memadam semua fail dan perisian daripada peranti, secara ringkasnya mengembalikan peranti kepada keadaan asal.

Ini bukanlah berita baik untuk pemilik peranti Pixel 6 yang sudahpun menerima kemaskini Feature Drop ini, dan menghadapi masalah panggilan, tetapi buat masa ini ia dilihat mereka tidak mempunyai begitu banyak pilihan selain daripada menggunakan peranti baru sahaja, ataupun bersabar dan menunggu ketibaan kemaskini kepada isu ini.

Sumber: droidlife

komen


© Amanz / 2022 Kami