Realme GT 2 Mungkin Dilengkapi Cip Snapdragon 888

Diterbitkan pada Dis 31, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Realme telah menjadualkan sebuah acara pelancaran produk baharu pada 4 Januari hadapan. Melaluinya, siri Realme GT2 bakal diumumkan dengan konsep yang malar segar yang digabungkan bersama beberapa elemen terkini. Ia juga dikhabarkan hadir dengan beberapa variasi model berbeza kelak.

Setakat yang diketahui, Realme GT2 Pro akan dijana oleh cip Snapdragon 8 Gen1. Namun apa yang menjadi persoalan ketika ini, bagaimana pula dengan Realme GT 2? Biarpun belum ada kepastian, tetapi kini timbul khabar angin yang mendakwa peranti ini kelak akan dijana oleh cip Snapdragon 888. Ia berikutan kini tularnya senarai markah penanda aras Geekbench peranti misteri Realme dengan kod nama RMX3310 di arena web. Dalam pada itu, peranti ini juga mungkin turut dipadankan dengan memori 12GB RAM dan menggunakan Android 12. Kutipan markah pula adalah 1136 untuk ujian satu teras, sementara itu 3,382 mata pula untuk ujian pelbagai teras. Ini sahaja maklumat yang diketahui pada waktu ini.

Baru-baru ini, Realme telah berkongsi tiga teknologi baru yang akan digunakan pada siri Realme GT2. Salah satu daripadanya adalah sensor ultra-lebar dengan darjah pandang mencapai 150 darjah. Menyentuh sedikit mengenai tetapan kamera, Realme GT 2 Pro akan menggunakan sensor 50MP Sony IMX766. Lebih menarik, sampel gambar juga telah mula diperlihatkan dalam beberapa perkongsian terkini.

Jelas kelihatan, ia mempamerkan kualiti imej yang baik dengan butiran yang terjaga. Selain itu, penghasilan semula warna juga dikatakan baik – di mana ia mampu menyampaikan hasil gambar yang kelihatan semula jadi. Seterusnya, hasil gambar ultra-lebar juga mampu memberikan elemen fotografi yang kreatif.

Tidak ketinggalan, kamera turut mampu memberikan hasil mikroskop yang baik dengan butiran memuaskan. Sungguhpun begitu, ini adalah pengamatan awal sahaja. Bagi melihat sama ada ia benar-benar sebaik yang dikongsi kan ini, sama sama nantikan pelancaran rasmi kelak.

Sumber : GSMArena, Gizmochina

komen


© Amanz / 2022 Kami