Dengan pelancaran komponen-komponen komputer terbaru yang paling berkuasa daripada syarikat-syarikat seperti AMD, Intel, NVIDIA dan sebagainya, pengguna kini hadir dengan pilihan yang cukup banyak sekali dalam membina komputer yang berkuasa.
Akan tetapi, sebuah komputer yang berkuasa, tidak kira komputer desktop ataupun komputer riba memerlukan sebuah paparan yang mempunyai kebolehan untuk menunjukkan prestasi dan kemampuan komputer tersebut kepada pengguna yang rata-ratanya hari ini mahukan bukan sahaja paparan besar yang beresolusi tinggi, tetapi juga sesuatu yang boleh memanfaatkan kemampuan komputer berkuasa mereka secara penuh.

GIGABYTE, jenama komponen dan peranti komputer yang cukup terkenal baru-baru ini telah memperkenalkan sejumlah paparan skrin gaming yang mana mereka telah menghantar salah satu daripadanya, iaitu GIGABYTE M28U kepada kami untuk diulas.
Spesifikasi Dan Rekaan
Spesifikasi Dan Rekaan
Skrin | 28″ SS IPS, 3840×2160 piksel, 16:9 HDR400, 144Hz |
Sokongan Warna | 120% sRGB |
Nisbah Kontras | 1000 : 1 |
Kecerahan | 300 cd/m² |
Masa Tindak Balas | Mencapai 1 ms GTG |
Sokongan Paparan Adaptif | AMD FreeSync Premium Pro |
Cagak | VESA |
I/O | 1x Display Port 1.4 + 2x HDMI 2.1 |
Audio | Bicu Audio 3.5mm |
USB | 1x USB Type-C, 3x USB 3.0 Type-A |
Kamera Web | Tiada |
Harga | RM 2899 |
Seperti yang dapat dilihat pada nama model paparan skrin ini, GIGABYTE M28U ialah sebuah paparan skrin menggunakan panel Super Speed IPS bersaiz 28 inci dengan resolusi 4K (3840×2160) dengan kadar segar semula 144Hz.
Spesifikasi lain mengenai panel paparan ini termasuklah ia hadir dengan sudut pandangan dari kiri ke kanan sebesar 178 darjah, nilai kecerahan 400 nit yang membolehkannya hadir dengan sokongan untuk teknologi VESA HDR400. Paparan ini mampu mengolah warna 98 peratus daripada gamut warna DCI-P3, yang mana untuk gamer dan juga penonton video tegar, boleh dikatakan mencukupi untuk kegunaan harian mereka.

Paparan GIGABYTE M28U ini juga hadir dengan bingkai yang nipis dan memaksimakan nisbah paparan ke bingkai sebanyak yang mungkin, khususnya dari sisi tepi dan juga bahagian atas paparan ini. Pemasangan paparan ini juga cukup mudah, dimana saya hanya perlu mencangkuk bahagian belakang paparan ini dan ia sudah siap dipasang.

Jika anda mahu mengubahsuai ketinggian ataupun posisi paparan ini, ia boleh dilakukan secara mudah dengan menolak paparan ke kiri dan kanan. Satu perkara yang saya suka mengenai paparan ini juga ialah tapaknya yang hadir dengan rekaan minimalis dan tidak memakan ruang yang begitu banyak. Ia juga membolehkan saya memuatkan lebih banyak peranti dibawah paparan skrin ini.
Dari segi pilihan input, paparan GIGABYTE MG28U ini dilengkapi dengan dua palam HDMI, satu palam DisplayPort, satu palam USB Type-C, satu palam USB 3.0 Type-B dan tiga palam USB 3.0 Type-A yang boleh digunakan untuk menyambungkan pelbagai aksesori kepada komputer tanpa perlu menggunakan palam komputer lebih.

Ciri-ciri tambahan pada paparan ini adalah seperti fungsi KVM (keyboard, video, mouse) yang membolehkan anda mengawal peranti-peranti lain menggunakan papan kekunci dan tetikus yang dipasangkan pada paparan skrin ini. Ia juga mempunyai pembesar suara terbina, dan ciri Flicker-Free dan Eyesafe yang menjanjikan bahawa mata anda tidak akan sakit apabila anda menggunakan paparan ini untuk satu jangkamasa yang lama.

Butang kuasa paparan ini terletak di bahagian belakang paparan yang juga digunakan untuk mengakses menu OSD (on-screen display) untuk mengakses pelbagai fungsi dan ciri-ciri paparan skrin ini. GIGABYTE turut menyertakan butang fizikal untuk fungsi KVM supaya anda boleh menggunakannya secara terus dengan mudah tanpa perlu mengaktifkan fungsi OSD.
Pemasangan
Memasang paparan skrin M28U ini adalah sangat mudah sekali, dan tidak memerlukan sebarang pemutar skru ataupun peralatan lain. Keluar dari kotak ialah bahagian paparan skrin dan juga tapak kaki paparan skrin ini, dan arahan untuk memasangnya hanyalah untuk anda memastikan bahawa kesemua bahagian belakang paparan memasuki rangka tapak tersebut.

Dari segi pengubahsuaian paparan, anda boleh menggunakan paparan ini secara mendatar, mengubahsuai ketinggian paparan dan juga mendongakkan paparan ini keatas dan kebawah bergantung kepada keperluan anda.

Sayangnya paparan ini tidak membolehkan anda mengubahsuai kedudukan paparan ke kiri ataupun kanan, dan keseluruhan paparan ini dengan tapaknya perlu digerakkan untuk membolehkannya digunakan bergantung kepada kedudukan anda dan komputer anda.
Pengalaman Pengguna
Saya berpeluang menggunakan paparan skrin GIGABYTE M28U ini untuk beberapa bulan, dan saya akan katakan bahawa walaupun ia menggunakan panel IPS dan bukan panel-panel yang lebih popular untuk gamer seperti OLED, QLED dan sebagainya, kejituan warna yang dipaparkan pada skrin ini sangat cantik sekali.

Seperti kebanyakan paparan skrin gaming sekarang ini, GIGABYTE M28U juga hadir dengan sejumlah tetapan yang boleh digunakan untuk pelbagai tujuan, seperti membaca/menulis, gaming, menonton video, malah jika mereka ingini, tetapan-tetapan kejituan warna juga boleh diubahsuai secara manual.
GIGABYTE turut menyediakan perisian OSD Sidekick yang lebih mudah untuk anda mengubahsuai tetapan paparan skrin ini tanpa isu menu OSD terbina padam sebelum anda selesai mengubahsuai tetapan paparan ini.

Untuk saya sendiri, saya menggunakan tetapan Movie sebagai tetapan paparan asas kerana tetapan tersebut memberikan saya kecerahan dan kejituan warna terbaik tidak kira aktiviti yang saya gunakan dengan komputer saya termasuklah untuk tujuan produktiviti harian, gaming ataupun menonton video.
Satu perkara yang mungkin jarang dilihat pada paparan skrin gaming yang lain ialah GIGABYTE M28U ini juga hadir dengan kemaskini perisian yang akan memperbaiki mutu paparan skrin ini, dan mengurangkan isu screen-tearing ataupun ghosting dan sebagainya.

Malah, jika saya perlu mengatakan sekiranya ada perkara yang saya tidak begitu gemar mengenai paparan ini, ia adalah bahawa pembesar suara terbina didalamnya tidak mempunyai kualiti mahupun kelantangan yang mencukupi untuk tidak menggunakan pembesar suara sendiri.
Satu perkara yang perlu saya tekankan juga di sini ialah untuk anda mengaktifkan sokongan 4K 144Hz pada paparan ini, anda perlu menggunakan kad grafik yang mempunyai sokongan untuk HDMI 2.1 ataupun DisplayPort 1.4.

Kad-kad grafik yang menyokong teknologi ini termasuklah siri kad grafik NVIDIA GeForce RTX 3000 dan juga AMD Radeon 6000. Sekiranya anda menggunakan palam HDMI 2.1, anda juga akan memerlukan sepasang kabel yang menyokong bandwidth HDMI 2.1, manakala kabel DisplayPort secara lazimnya dilihat menyokong DisplayPort 1.4 tanpa masalah.
Perkara ini dilihat sama untuk konsol-konsol PlayStation 5 dan Xbox Series X memanfaatkan ciri resolusi dan kadar segar semula tinggi tersebut, yang mana ia memerlukan kabel tersebut untuk memanfaatkan kebolehan resolusi dan kadar segar-semula tinggi.
Sekiranya anda menggunakan kad grafik siri yang sedikit lebih lama, ataupun kabel yang tidak menyokong HDMI 2.1, anda hanya akan mendapat kadar segar semula yang dikunci pada 60FPS pada resolusi 4K.
Gaming
Fungsi utama paparan GIGABYTE M28U ini boleh dilihat pada ciri-ciri gaming yang diperlihatkan. Ia hadir dengan sokongan untuk AMD FreeSync Premium Pro dan juga pengesahan VESA DisplayHDR yang menjanjikan pelangan gaming tanpa isu screen-tearing ataupun carikan skrin apabila dipadankan dengan kad grafik berkuasa tinggi, dan juga membolehkan pengguna menonton kandungan HDR apabila ia disokong.

Dengan paparan ini, saya menggunakannya untuk memainkan permainan seperti Final Fantasy XIV, Lost Ark, Destiny 2, Halo Infinite dan sebagainya, dan sepanjang pengalaman saya bermain permainan komputer dengan paparan ini, tidak pernah sekali pun saya merasakan kekurangan pada paparan skrin ini.

Malah, jika ada kekurangan sepanjang sesi-sesi gaming saya, ia adalah bahawa komputer saya tidak cukup berkuasa untuk memanfaatkan resolusi 4K dan kadar segar semula 144Hz yang ditawarkan pada paparan skrin ini.
Walaupun begitu, saya masih boleh memanfaatkan gaming berprestasi tinggi pada resolusi 1440p dengan kadar segar semula yang sama, jadi sekiranya saya boleh memiliki paparan skrin ini, saya tidak perlu menukarnya jika saya menaiktarafkan komputer saya kepada kad-kad grafik keluaran AMD ataupun NVIDIA yang lebih berkuasa.

Paparan skrin ini juga hadir dengan fungsi-fungsi tambahan seperti Aim Stabilizer Sync, Crosshair dan Counter yang sedikit sebanyak membantu dalam mengoptimasikan pengalaman bermain permainan komputer anda, khususnya permainan FPS, tetapi bagi saya sendiri, fungsi Counter dilihat paling berguna, khususnya apabila saya mahu melihat sendiri prestasi komputer saya apabila bermain permainan-permainan ini.

Satu lagi kelebihan yang akan saya ketengahkan ialah paparan skrin GIGABYTE M28U ini juga boleh digunakan dengan konsol-konsol gaming seperti Sony PlayStation 5 dan Microsoft Xbox Series X dan menyokong mod 4K 120Hz yang hadir pada konsol-konsol ini tanpa masalah.

Jadi jika anda mempunyai sebuah konsol ini, tetapi tidak mempunyai ruang untuk memuatkan sebuah televisyen dengan saiz paparan yang besar, paparan skrin M28U ini sangat sesuai juga untuk mereka yang duduk didalam bilik bujang.
KVM
GIGABYTE M28U ini juga merupakan paparan skrin gaming pertama dengan fungsi KVM (Keyboard, Video, Mouse) pertama yang dilihat hadir ke pasaran. Kelebihan fungsi ini dapat dilihat sekiranya anda seseorang yang sering mengendali lebih daripada satu komputer pada masa yang sama.

Melalui fungsi KVM ini, dengan menekan satu butang sahaja, anda boleh menukar output paparan kepada komputer kedua, dan menggunakan tetikus dan papan kekunci yang sama yang disambungkan kepada palam USB paparan skrin untuk mengawal komputer kedua ini.
Sebelum ini, aksesori KVM biasanya dijual secara berasingan kerana ia bukanlah sebuah fungsi yang sering digunakan, tetapi kini dengan aktiviti menstrim atas-talian yang semakin popular, penggunaan dua komputer sekaligus untuk tujuan gaming dan juga merakam kandungan bukanlah sesuatu yang asing lagi.
Penutup
Berbaloikah sekiranya anda membeli paparan skrin GIGABYTE M28U ini sekarang? Paparan skrin dengan resolusi 4K dan juga kadar segar semula tinggi 144Hz masih tidak begitu banyak diperlihatkan di pasaran sekarang.
Sekiranya anda memiliki sebuah komputer berkuasa yang hadir dengan pilihan kad grafik seperti NVIDIA GeForce RTX 3070, RTX 3080 dan keatas, ataupun AMD Radeon RX 6000 yang berprestasi tinggi, paparan skrin ini tiada masalah memanfaatkan prestasi berkuasa daripada kad-kad grafik tersebut untuk masa sekarang, dan beberapa tahun akan datang, pada pendapat saya.

Pada tanda harga RM2899, paparan skrin ini mungkin dilihat sebagai paparan yang hanya mampu dibeli oleh kelas bangsawan, dan anda tidak salah mengenai perkara ini. Tetapi dengan ciri-ciri seperti AMD FreeSync Premium Pro, KVM dan sokongan HDR bersama-sama dengan kadar segar semula tinggi pada resolusi 4K, jika anda seseorang yang mementingkan sesuatu seperti future-proofing, boleh saya katakan ini adalah diantara paparan skrin multi-fungsi premium yang terbaik di pasaran sekarang.
Pro:
- Kualiti paparan yang sangat baik
- Pemasangan mudah
- Hadir dengan ciri-ciri yang memanfaatkan gamer
- Fungsi KVM
- Kemaskini berkala
- Resolusi 4K @ 144Hz
Kontra:
- Harga
- Tidak boleh diubahsuai ke kiri dan kanan
- Pembesar suara yang tidak begitu bagus
- Memerlukan kad grafik terkini untuk memanfaatkan kadar segar semula tinggi
