Cari @ Amanz

Arena papan kekunci mekanikal kini dilihat sarat dengan pelbagai jenis pilihan, dari jenis siap-pasang oleh pelbagai jenama aksesori komputer yang terkemuka seperti Razer, Corsair, Logitech, dan juga jenama-jenama papan kekunci seperti Keychron, Ducky, Filco yang sebagainya juga.

Terkini, Iqunix dilihat memperkenalkan salah satu model papan kekunci terbaru mereka, iaitu Iqunix F96 KAT, iaitu sebuah papan kekunci bersaiz 96% dengan 100 kekunci yang boleh dikatakan bersaiz padat dan hadir dengan penawaran kekunci dengan rekaan KAT, yang tidak selalu dilihat pada papan kekunci siap-pasang.

Rekaan

Papan kekunci Iqunix F96 KAT ini hadir dengan rekaan yang padat, dimana kesemua kekunci huruf, nombor, fungsi dan juga numpad dilihat berdekatan satu sama lain. Rangka papan kekunci ini dilihat diperbuat daripada aluminum yang dipasang bersama-sama menggunakan skru kepala Philips.

Oleh kerana papan kekunci ini ialah papan kekunci siap pasang, suis yang digunakan (kami menerima model dengan suis Gateron Red) dipaterikan terus ke papan litar dan hanya kekunci yang dapat dibuka dengan mudah menggunakan penarik kekunci.

Papan kekunci ini juga menggunakan sistem lekapan “tray mount” yang mana bahagian papan litar dan suis dimuatkan ke atas bahagian bawah papan kekunci ini. Bercakap mengenai ini, papan kekunci ini juga hadir dengan sebuah suis di bahagian bawah papan kekunci ini yang boleh digunakan untuk mengaktifkan ciri sambungan Bluetooth.

Ciri-Ciri

Papan kekunci Iqunix ini hadir dengan beberapa ciri-ciri yang unik. Pertama ialah kekunci profil KAT yang sedikit lebih tinggi berbanding dengan profil Cherry ataupun OEM yang biasa dilihat. Kelebihan kekunci profil KAT ialah ia hadir dengan rekaan yang lebih tinggi, memudahkan pemasangan pada pelbagai jenis papan kekunci dan juga pengalaman dan bunyi menaip yang pada pendapat saya lebih sedap.

Kedua ialah papan kekunci ini sesuai digunakan pada komputer-komputer yang menggerakkan Windows ataupun MacOS tanpa perlu memasang sebarang perisian. Malah, Keybot, pengedari papan kekunci Iqunix di Malaysia mengatakan bahawa papan kekunci ini dibawa masuk untuk para pengguna ekosistem Mac yang mahukan pengalaman menaip yang lebih baik.

Bagi saya, ciri paling menarik pada papan kekunci ini ialah ia boleh disambungkan ke sebuah komputer melalui Bluetooth. Pada ujian kami, semua komputer riba ataupun komputer desktop dengan Bluetooth terbina boleh bersambung dengan papan kekunci ini tanpa masalah. Jika komputer anda tiada sambungan ini, Iqunix memberi pengguna penyesuai Bluetooth yang boleh disambungkan menggunakan palam USB.

Walaupun kami mengatakan bahawa pengguna tidak perlu menggunakan perisian untuk memanfaatkan fungsi-fungsi ini, Iqunix turut menawarkan perisian yang membolehkan pengguna untuk mengubah corak pencahayaan RGB yang terbina, dan juga pintasan-pintasan kekunci dengan cepat dan mudah.

Papan kekunci ini turut menyokong penggunaan pada komputer riba MacBook tanpa sebarang masalah, dan sekiranya anda seorang pengguna komputer riba Apple yang sedang mencari sebuah papan kekunci mekanikal untuk menggantikan papan kekunci yang terbina pada komputer riba tersebut.

Pengalaman Pengguna

Seperti semua papan kekunci siap-pasang di pasaran, Iqunix F96 KAT ini boleh digunakan secara terus apabila dikeluarkan daripada kotak, tidak kira secara berwayar ataupun nirwayar. Untuk mengaktifkan fungsi Bluetooth, anda hanya perlu mengaktifkan suis tersebut di bahagian bawah papan kekunci ini, dan ia boleh digunakan secara terus.

Sekiranya komputer anda tidak mempunyai sokongan untuk sambungan Bluetooth, Iqunix turut menyertakan penyesuai Bluetooth USB yang memudahkan pengguna untuk menggunakan papan kekunci ini secara nirwayar. Bagi mereka yang lebih biasa menggunakan sambungan berwayar, Iqunix F96 ini juga turut disertakan dengan kabel USB-C ke USB-A.

Dari segi pengalaman menaip, bagi saya papan kekunci ini memerlukan sedikit masa untuk membiasakan diri untuk menaip dengannya kerana penggunaan kekunci profil KAT yang lebih tinggi berbanding dengan profil Cherry dan juga OEM yang lebih tinggi.

Jujur saya katakan bahawa rekaan papan kekunci ini yang menggunakan empat bahagian aluminum yang diskrukan ini memberikan pengalaman menaip yang agak kaku dan mempunyai bunyi lompang kerana bunyi suis dan kekunci yang dipantulkan daripada permukaan tanpa sebarang penebat bunyi.

Penggunaan kekunci profil KAT boleh dilihat sebagai tarikan utama papan kekunci ini kerana ia ini tidak selalu ditawarkan pada sebuah papan kekunci siap pasang. Bercakap mengenai kekunci ini, model yang diterima oleh kami untuk ulasan ini diperbuat daripada bahan ABS, dan aksara-aksara yang dicetak diatas kekunci ini menggunakan teknik dyesub.

Saya lebih biasa menggunakan kekunci berprofil Cherry kerana ia tidak begitu tinggi dan lebih mudah untuk menaip dengan telapak tangan direhatkan diatas permukaan meja. Dengan kekunci KAT, saya perlu menaikkan pergelangan tangan untuk menaip, dan walaupun ini bukanlah sesuatu masalah yang besar, ia sedikit sebanyak mengurangkan kelajuan menaip saya, dan tangan saya lebih cepat penat apabila menaip ayat dan perenggan yang panjang.

Satu perkara yang saya lihat mengenai kekunci-kekunci pada Iqunix F96 KAT ini ialah untuk kekunci dengan aksara panjang seperti Enter, Backspace dan Shift, ia memperlihatkan isu tompokan yang membuatkan aksara-aksara tersebut tidak begitu tajam. Walaupun begitu, apabila melihat kepada kekunci 1U, aksara yang dicetak pada kekunci-kekunci tersebut tidak memperlihatkan masalah tompokan ini.

Penggunaan penstabil Costar juga menyebabkan yang agak sukar untuk mencabutkan kekunci spacebar, Shift dan Backspace kerana ia memerlukan anda untuk mencabutkan cangkuk pada bahagian kekunci daripada papan litar. Perkara ini akan menyukarkan proses membersihkan papan kekunci anda di masa akan datang, jadi ia adalah sesuatu yang patut diambil kira jika anda seorang yang sering membersihkan peralatan elektronik anda.

Satu lagi aspek papan kekunci ini yang saya tidak begitu gemari ialah papan kekunci ini secara keseluruhan hadir dengan rekaan yang padat. Sekali lagi, bergantung kepada minat anda, ia mungkin sesuatu yang anda tidak akan hiraukan, tetapi bagi saya yang biasa menaip secara touch-typing, ada masanya saya akan tersalah tekan kekunci, khususnya apabila menggunakan kekunci arah.

Bercakap mengenai jangkahayat bateri, saya menggunakan papan kekunci ini secara nirwayar selama dua minggu, dan sepanjang waktu ini, saya tidak perlu mengecas pun papan kekunci ini, walaupun sekali. Pada anggaran saya, dengan penggunaan setiap hari, papan kekunci ini mungkin hanya perlu dicas sekali setiap 2-3 minggu.

Sokongan untuk sistem-sistem operasi Windows dan MacOS juga dilihat sebagai satu lagi titik positif untuk papan kekunci ini, kerana setakat ini, pilihan papan kekunci mekanikal untuk peranti MacBook tidak begitu banyak di pasaran sekarang.

Bercakap mengenai itu, kekunci profil KAT juga sangat jarang dilihat pada papan kekunci siap pasang, dan ia tidak mengejutkan sekiranya papan kekunci ini dibeli khusus untuk mendapatkan kekunci-kekunci ini. Walaupun begitu, saya akan perlu menasihatkan mereka yang mahu berbuat demikian untuk melihat dulu sama ada papan kekunci anda menyokong kesemua kekunci-kekunci yang tersedia, kerana bergantung kepada papan kekunci anda, ada diantaranya yang tidak akan muat pada papan kekunci anda.

Penutup

Pada harga RM679, diantara sebab utama mengapa anda akan mahu mendapatkan papan kekunci ini ialah untuk sokongan sistem operasi Microsoft Windows dan MacOS, ciri sambungan nirwayar melalui Bluetooth, jangkahayat bateri yang panjang dan juga kekunci dengan profil KAT.

Dari segi rekaan, penggunaan rangka aluminum dengan gabungan kekunci KAT berwarna putih memberikan papan kekunci F96 ini rekaan industrial yang pastinya disukai khususnya oleh para pengguna peranti MacBook.

Walaupun begitu, pada pendapat saya, pengalaman menaip dengan papan kekunci ini sedikit kekok kerana penggunaan rangka aluminum yang tiada peredam bunyi, dan juga penggunaan penstabil Costar yang diketahui akan menyebabkan bunyi berderak apabila bahagian logam penstabil berlanggar dengan kekunci, khususnya pada kekunci spacebar.

Pro

  • Hadir dengan hampir kesemua kekunci yang dimahukan pada sebuah papan kekunci
  • Boleh digunakan terus keluar dari kotak
  • Kekunci profil KAT
  • Sokongan Windows dan MacOS
  • Sokongan sambungan nirwayar Bluetooth dengan bateri yang tahan lama
  • Aksesori tambahan

Kontra

  • Susun atur kekunci yang terlalu rapat
  • Bunyi kekunci yang lompang (hollow)
  • Cetakan aksara tertentu yang pudar walaupun belum digunakan
  • Penggunaan penstabil Costar yang menyusahkan pembukaan dan pemasangan semula kekunci panjang
© 2023 Amanz Media Sdn Bhd