Kita akhirnya tiba tahun 2022 dengan jayanya. Terdapat banyak pemenang dan juga yang hampir menang. Ada pilihan yang dipersetujui pembaca dan banyak juga yang menimbulkan kontroversi. Di kalangan editor sendiri kami mempunyai pendapat berbeza mengenai peranti apakah yang paling digemari sepanjang tahun. Oleh itu artikel ini ditulis bagi membolehkan kesemua editor menyatakan apakah peranti yang paling mereka gemari tahun ini yang tidak termasuk dalam senarai peranti-peranti terbaik tahun 2021.
- Senarai – Peranti Terbaik Amanz 2021 – Tablet
Fahim Zahar – TicWatch Pro 3 Ultra GPS
Penggunaan peranti boleh pakai ini luas. Paling popular di Malaysia dalam yang saya sendiri nampak, di sini ramai lebih menggemarkan jam tangan pintar asas seperti Amazfit, Xiaomi Smart Band, Realme Band dan lain-lain.
Tetapi tahukah anda, arena peranti ini besar? Banyak sistem operasi yang baik yang akan memberikan pengalaman yang lebih memuaskan. Pada hemat saya yang paling orang ramai kurang ambil kisah sekali adalah Wear OS.
Peranti pilihan saya tahun ini adalah TicWatch Pro 3 Ultra GPS, jam tangan pintar Wear OS 2.x, dwi-skrin, bateri tahan gila lama, skrin besar dan cantik, prestasi yang mantap, lancar dan pantas – serta kukuh dan tahan lasak sehingga ramai memanggilnya G-Shock Wear OS terbaik setakat ini dan saya setuju dengannya!
Dijana Snapdragon Wear 4100 + cip dwi-teras Mobvoi, skrin 1.4-inci AMOLED yang dipadankan dengan skrin kedua FSTN Dual Display 2.0 yang warna backlight boleh diubah, IHB iaitu sistem membaca degupan jantung yang tidak sekata sebagaimana AFib berfungsi, sistem membaca keragaman degupan jantung (HRV), TicSleep, TicZen, imbasan nadi 24 jam, 20 mod sukan dengan kemampuan di bawa berenang dan juga kemampuan memantau aktiviti HIIT.
Harga jualan RM1399 pada hemat saya, ia adalah jam Wear OS paling berbaloi kerana memberikan pengalaman penggunaan yang memuaskan yang pasti tidak menyesal.
Amy Maizuraa – Samsung Galaxy A52
Keseimbangan di antara harga dan fungsi adalah faktor yang membuatkan Samsung Galaxy A52 menjadi antara pilihan terbaik untuk tahun ini. Mengapa? Samsung telah memuatkan sejumlah ciri premium yang mengagumkan dalam sebuah tubuh peranti kelas pertengahan. Konsep moden dan kontemporari pada kemasan peranti ini jelas menunjukkan Samsung semakin matang dalam menjadikannya mempunyai nilai yang menarik.
Ia lebih santai dan dinamik bahkan boleh dikatakan tidak mengecewakan kita sebagai pengguna. Ia juga mempunyai panel Super AMOLED yang cantik dengan kadar segar semula 90Hz. Kemudian, pemilihan skrin sebesar 6.5-inci pada peranti juga bersesuaian dengan kehendak kebanyakan pengguna hari ini yang mahukan sebuah peranti bersaiz kompak. Sebagai tambahan, sokongan pembesar suara sejenis stereo dengan sokongan Dolby Atmos yang diberikan turut menjadikannya cukup baik untuk pengalaman penggunaan yang pelbagai – baik untuk menonton kandungan video, bersosial atau bermain permainan mudah-alih (permua).
Dalam pada itu, gabungan prestasi dan perisian yang baik turut memberikan kelebihan ketara berbanding beberapa pesaing setara. Sejujurnya, saya menyukai antaramuka OneUI kerana ia mempunyai penampilan yang minimalis, bersih dan mesra untuk penggunaan sebelah tangan. Lebih menarik, Samsung turut menjanjikan kemas kini OS selama 3 tahun dan sekuriti minimum selama 4 tahun.
Tidak habis di situ, ia juga mempunyai beberapa fungsi yang ‘berharga’ berbanding beberapa peranti mercu Samsung sedia ada. Misalnya seperti fungsi kegemaran ramai iaitu bicu audio 3.5mm yang pastinya memudahkan pengguna untuk membeli aksesori audio. Perlu diakui, saya sendiri masih setia dengan aksesori fon telinga berwayar kerana ia lebih memudahkan penggunaan. Terima kasih juga kepada penarafan kalis air dan debu IP67 yang dapat memastikan peranti bebas daripada sebarang risiko yang melibatkan cecair dan habuk. Tambahan pula keadaan cuaca yang tidak menentu di Malaysia, kewujudan ciri ini adalah sangat dialu-alukan untuk pelindungan peranti lebih menyeluruh.
Sistem kuad-kamera dengan sokongan OIS yang mampu memberikan prestasi yang baik untuk harganya turut menjadikannya antara peranti mampu milik yang menarik pada tahun ini. Hayat bateri juga baik meskipun ia hanya mempunyai bateri 4,500mAh. Apa yang penting adalah kepala pengecas masih tetap disediakan dalam kotak pembelian. Cuma sayangnya, pengecas yang tersedia hanya menyokong output 15W.
Menarik sekali melihat peranti bawah RM1,500 hadir dengan ciri dan fungsi yang cukup segalanya berbanding peranti yang dijual pada harga lebih mahal. Namun, sekiranya 5G adalah penting bagi anda, mungkin boleh dapatkan Samsung Galaxy A52s dengan janaan cip lebih berkuasa menerusi Snapdragon 778G. Harganya mungkin sedikit mahal, tetapi nilai tambahan lain seperti RAM secara maya menggunakan RAM Plus telah meletakkannya sebagai antara peranti kelas pertengahan premium terbaik pilihan editorial Amanz pada tahun 2021.
Nazrin- Sony WF-1000XM4
2021 merupakan tahun dimana jenama-jenama peranti dilihat banyak memperkenalkan penawaran TWS (True Wireless Sound) mereka sendiri. Ada yang hadir dengan penawaran fungsi-fungsi fon telinga sedia ada, dan ada yang menawarkan fungsi seperti pembatalan hingar, pengubahsuaian kualiti audio dan sebagainya, tetapi pada hemat saya TWS terbaik tahun ini jatuh kepada Sony WF-1000XM4.
Sony WF-1000XM4 memperlihatkan penambahbaikan yang cukup ketara walaupun apabila dibandingkan dengan model sebelumnya. Ini termasuklah rekaan yang lebih mesra poket, penambahan ciri-ciri baru seperti pause-to-talk, penaiktarafan ciri Ambient Sound yang membolehkan anda mendengar bunyi latar persekitaran walaupun apabila memasang fon telinga.
Kualiti audio tidak begitu berbeza apabila dibandingkan dengan model sebelum ini, tetapi ini bukanlah sesuatu isu yang serius kerana kualiti audio WF-1000XM3 sudahpun sangat baik pada pendapat saya. Perubahan terbesar, iaitu rekaan fizikal rangka dan unit fon telinga ini sendiri merupakan sesuatu yang sangat baik, khususnya apabila model XM3 tidak begitu mesra poket, dan permukaan sesentuh XM4 kini merupakan seluruh permukaan hadapan fon telinga ini.
Saya pernah ditanya sekiranya ia berbaloi untuk membeli Sony WF-1000XM3 kerana harganya yang sangat murah di pasaran sekarang. Jawapan saya ialah jika anda menunggu pada waktu-waktu tertentu dimana Sony Malaysia akan menawarkan diskaun besar pada fon telinga ini, anda pasti boleh mendapatkannya pada harga yang pada hemat saya ialah paling berbaloi sekali, khususnya untuk fungsi-fungsi yang ditawarkan oleh fon telinga terbaru ini.
Effi Saharudin – Samsung Galaxy Z Flip3
Peranti mercu terbaik 2021 dimenangi oleh Samsung Galaxy Z Fold3 tetapi secara peribadi mengulas Samsung Galaxy Z Flip3 terasa lebih seronok. Seronok kerana harga jualan Z Flip3 tahun 2021 (RM3999) adalah lebih murah berbanding Z Flip2 tahun 2020 (RM5888). Akhirnya peranti skrin boleh-lipat dijual pada harga yang lebih munasabah dan amat kompetitif berbanding peranti candybar dengan spesifikasi yang setanding. Malahan jika anda bernasib baik ia boleh dibeli pada harga serendah RM2999 beberapa hari lalu.
Sejak generasi pertama Z Flip dan Z Fold lagi saya ada mengatakan jatuh bangun masa depan peranti skrin boleh-lipat terletak pada harga jualannya. Jika terlalu mahal, tiada siapa akan membeli walaupun ia adalah peranti terbaik sekalipun. Tahun ini Samsung berani meletakkan harga yang cukup rendah dan hasilnya pengeluar lain seperti Xiaomi dan Oppo menawarkan peranti mereka pada harga yang lebih rendah sekaligus menguntungkan pengguna.
Saya cukup suka dengan Z Flip3 kerana ianya amat padat di dalam kocek. Ia boleh dimasukkan ke dalam kocek kemeja dan terdapat banyak pilihan aksesori menarik jika saya ingin menggantungnya di leher seperti telefon mudah alih awal 2000. Terdapat elemen retro yang membuat ia menjadi peranti paling inovatif tetapi masih cool. Rekaan mungkin retro tetapi spesifikasi cukup moden. Skrin 120Hz yang pantang, cip Snapdragon 888 yang cukup berkuasa da kemampuan kamera yang tidak mengecewakan.
Sebagai seorang insan yang boleh dikategorikan sebagai ketagihan Internet, Z Flip3 juga mengurangkan tabiat saya sentiasa ingin melihat skrin. Apabila dalam posisi tertutup, langsung tiada perasaan untuk membuka skrin. Pada tahun 2021, sama memberikan tumpuan kepada peranti yang cukup mengubah paradigma, seronok digunakan dan berani untuk mencuba sesuatu yang baru. Oleh sebab itu saya menobatkan Samsung Galaxy Z Flip3 sebagai peranti kegemaran saya untuk tahun 2021.