Cari @ Amanz

Sempena acara CES 2022, Samsung memperlihatkan beberapa model terbaru televisyen pintar Micro LED, Neo QLED, Frame, Serif dan Sero mereka untuk tahun 2022. Visi mereka pada tahun 2022 ialah skrin yang boleh digunakan untuk pelbagai jenis aktiviti, tidak kira untuk tontonan, menggerakkan permainan videoi melalui konsol dan perkhidmatan penstriman, dan juga untuk melihat NFT.

Bermula dengan model Micro LED, Samsung akan memperkenalkan tiga model televisyen pintar dengan saiz gergasi, termasuklah 110”, 101” dan 89”. Teknologi Micro LED yang akan diperlihatkan pada televisyen mereka tahun ini hadir dengan teknologi warna 20-bit greyscale. Secara ringkasnya, ini bermakna bahawa setiap LED dalam paparan tersebut boleh dikawal nilai kecerahan dan warna pada skala yang sangat tinggi.

Ia juga mampu memperlihatkan 100 peratus gamut warna DCI dan Adobe RGB dan juga hadir dengan rekaan paparan dengan bingkai yang sangat nipis, dimana Samsung mengatakan ia mempunyai nisbah 99.99% paparan ke rangka peranti.

Dari segi ciri, televisyen Micro LED akan hadir dengan beberapa fungsi baru, termasuklah:

  • Art Mode – Menukar paparan menjadi galeri seni
  • Multi-View – Membolehkan paparan untuk memperlihatkan kandungan daripada empat sumber berbeza pada masa yang sama
  • Dolby Atmos – Pembesar suara terbina yang membolehkan pengguna untuk menikmati pengalaman audio terbaik dari semua arah

Samsung turut akan memperlihatkan siri televisyen Neo QLED 8K yang hadir dengan penambahbaikan seperti pemprosesan imej Neo Quantum Processor yang boleh meningkatkan nilai kecerahan paparan disamping mengekalkan kualiti warna gambar dan video pada paparan tersebut.

Ciri Real Depth Enhancer pula ialah algoritma baru yang boleh meningkatkan mutu gambar pada paparan sekiranya ia memperlihatkan sumber beresolusi rendah. Ia juga digunakan untuk meningkatkan “kedalaman” sebuah objek dalam paparan untuk memberikan efek seakan-akan anda sedang melihat sebuah objek 3D.

Jika anda gemar menonton televisyen dengan banyak, ia juga hadir dengan EyeComfort yang mengubahsuai tetapan kecerahan dan tona warna bergantung kepada pencahayaan persekitaran. Ini sedikit sebanyak akan menjadikan pengalaman tontonan anda lebih selesa dalam jangka masa panjang.

Kualiti audio pada televisyen Neo QLED juga dipertingkatkan melalui ciri Object Tracking Sound yang mana audio sesebuah objek akan diperdengarkan berdasarkan pergerakan objek atau individu yang ditunjuk di paparan. Ini dilihat akan memberikan pengalaman audio yang sepadan dengan mutu visual yang diperlihatkan pada televisyen Neo QLED ini.

Samsung juga dilihat mengemaskini siri televisyen The Frame, The Serif dan The Sero dengan rekaan paparan matte, anti-silau dan pilihan saiz yang berbeza, dari 32 inci ke 85 inci untuk The Frame dan 43 inci ke 65 inci untuk The Serif bagi mereka yang mahu paparan yang boleh dimuatkan ke ruang-ruang yang sesuai.

Dari segi perisian, Samsung turut memperkenalkan The Hub, iaitu antaramuka baru mereka yang merumahkan pelbagai fungsi digital dan atas talian seperti NVIDIA GeForce Now, Google Stadia, dan juga sokongan untuk platform-platform NFT yang mana paparan-paparan Micro LED, Neo QLED dan The Frame boleh digunakan untuk membeli dan memperdagangkan NFT yang dimiliki.

Samsung dijangka akan memperkenalkan kesemua televisyen-televisyen terbaru mereka ini sewaktu acara CES 2022 kelak.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd