Cari @ Amanz

Samsung hari ini telah pun memperkenalkan telefon pintar terbaru mereka yang dinantikan ramai, iaitu Samsung Galaxy S21 FE 5G. Seperti sebelum ini, ia memfokuskan kepada para peminat peranti Galaxy, dalam menikmati penawaran Samsung menyeluruh bersama spesifikasi tinggi, tetapi pada harga yang lebih mesra poket.

Samsung Galaxy S21 FE 5G hadir dengan skrin 6.4-inci FHD+ Dynamic AMOLED 2X, menawarkan kadar segar semula 120Hz, serta dilengkapi pengimbas cap jari pada skrin.

Menjana ia adalah cip Exynos 2100 5nm, memori 8GB RAM, dan storan dengan pilihan 256GB atau 128GB. Ia turut menggunakan bateri 4500mAh dengan sokongan pengecasan pantas berwayar 25W, atau nirwayar 15W.

Untuk rakaman gambar, Galaxy S21 FE 5G ini hadir dengan tri-kamera belakang yang mengabungkan sensor 12MP (ultra-lebar) + 12MP OIS + 8MP (telefoto). Dengan gabungan ini, ia menawarkan ciri seperti Space Zoom sehinggaa 30X, atau zum optikal sehingga 3X. Untuk rakaman swafoto dan panggilan video pula, sensor 32MP digunakan dihadapan pada bahagian skrin berlubang.

Pelbagai ciri kamera turut disertakan, termasuk seperti Night Mode dan juga Dual Recording. Bonggol kamera juga tidak begitu besar berbanding model-model lain di pasaran.

Ciri lain popular seperti Samsung Pay turut disertakan. Galaxy S21 FE 5G dijana dengan sistem operasi Android 12, dan dilengkapi antaramuka OneUI 4.0.

Di Malaysia, Samsung Galaxy S21 FE 5G ditawarkan pada harga RM2899 untuk model 128GB, dan RM3099 untuk model 256GB. Maklumat penuh berkaitan penawaran dan promosi dijangka dikongsikan esok oleh Samsung Malaysia.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd