Acer ialah diantara beberapa jenama komputer yang tegar dengan pengenalan peranti Google Chromebook baru setiap tahun, dan tahun 2022 tidak begitu berbeza, dimana mereka kini telah memperlihatkan tiga model Chromebook baru mereka sendiri.

Pertama ialah Acer Chromebook Spin 513, sebuah Chromebook yang boleh digunakan sebagai sebuah komputer riba ataupun tablet kerana kemampuan engsel 360 darjahnya. Ia dilengkapi dengan paparan skrin bersaiz 13.2 inci dengan resolusi 2256×1504 pixel yang hadir dengan nisbah paparan 3:2, sama seperti sekeping kertas A4 yang kebelakangan ini dilihat sering digunakan dalam komputer riba produktiviti.
Dikuasakan CPU MediaTek Kompanio 1380, Chromebook Spin 513 ini juga hadir dengan jangkahayat penggunaan sekitar 10 jam dan melepasi piawaian MIL-STD 810H yang menjadikannya sebuah Chromebook yang tahan lasak.
Acer Chromebook 315 pula ialah Chromebook bagi mereka yang lebih biasa bekerja bersama peranti dengan skrin besar. Dilengkapi dengan paparan IPS bersaiz 15.6 dengan resolusi Full HD, Acer Chromebook 315 ini juga hadir dengan pilihan skrin sesentuh bagi mereka yang juga gemar menggunakan fungsi tersebut.

Peranti ini dibina khusus untuk tujuan kegunaan harian di rumah, khususnya untuk pembelajaran PDPR ataupun bekerja dari rumah. Untuk membantu pengguna, ia dilengkapi dengan sebuah kamera HDR untuk memberi rakaman video elok buat peserta kelas dan juga sesi telesidang dari lokasi yang tidak mempunyai cahaya yang begitu elok.
Untuk sambungan internet yang lebih elok, Chromebook 315 ini juga boleh memanfaatkan sambungan internet WiFi 6 sekiranya anda mempunyai penghala WiFi tersebut.
Acer Chromebook 314 hadir dengan fungsi-fungsi yang sama dengan Acer Chromebook 315, tetapi mempunyai rekaan yang lebih padat, dimana ia menggunakan paparan skrin IPS bersaiz 14 inci dengan resolusi Full HD juga.

Dalam pada itu, Chromebook 314 ini juga hadir dengan pad sesentuh yang diperbuat daripada Ocean Glass, iaitu bahan kitar semula yang menggunakan plastik buangan yang dipunggah dari lautan.
Acer mengatakan bahawa Acer Chromebook 315 akan mula ditawarkan pada bulan Januari ini di beberapa pasaran terpilih pada harga permulaan $299, manakala Acer Chromebook 314 dan jgua Acer Chromebook Spin 513 akan ditawarkan sekitar penghujung bulan Jun kelak pada harga permulaan $299 dan $599.