Panduan Ringkas Komputer Riba MSI 2022 Terbaru Anda Perlu Tahu

Diterbitkan pada Jan 5, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Alam meta adalah trend dunia maya terkini yang sedang hangat diperkatakan dan MSI adalah antara jenama yang turut mengikuti arus pemodenan dunia teknologi ini. MSIology merupakan sebuah acara yang dijalankan secara maya dimana MSI telah mengumumkan kira-kira 10 laptop terbaru dari mereka yang dikuasakan dengan cip Intel generasi ke-12, iaitu generasi terbaru dari Intel.

Laptop-laptop ini dikatakan “Meta Ready” oleh MSI dimana ia tersedia untuk menjadi pengantara kepada anda untuk memasuki ke dalam dunia meta. Tapi apa perbezaan diantara kesemua laptop ini dan mana satu laptop MSI yang terbaik untuk anda? Kami telah bahagikan kepada dua bahagian utama iaitu komputer riba gaming dan komputer riba pencipta kandungan untuk anda.

Komputer Riba Gaming

MSI Stealth GS77/66

Laptop ini sesuai bagi seorang gamer yang inginkan kepuasan bermain permainan video menggunakan laptop. Ada beberapa ciri khas yang para gamer boleh gunakan seperti Phase Change Liquid Metal Pad yang dikatakan mampu untuk memindahkan haba dari cip pemproses dengan lebih baik dan stabil sekaligus meningkatkan prestasi sehingga 10%. Selain itu terdapat juga saiz kekunci yang 8% lagi besar, pad sesentuh yang merupakan 50% lebih luas, 6 pembesar suara oleh Dynaudio dan kunci fizikal untuk menghalang penceroboh daripada mengakses kamera web anda. Ciri-ciri ini juga telah dipadankan dengan spesifikasi yang tinggi seperti cip pemproses sehingga Intel® Core™ i9 generasi ke-12, kad grafik NVIDIA® GeForce RTX™  RTX3080 Ti, DDR5-4800, WiFi 6E Intel® Killer™ serta pelbagai jenis skrin dengan kadar semula yang tinggi atau resolusi tinggi.

MSI Raider GE76/66

Jika anda mementingkan prestasi dan kekuasaan gaming yang ditawarkan pada komputer riba, anda perlu menumpukan lebih perhatian kepada siri Raider GE. Spesifikasi menarik seperti Intel® Core™ i9, kad grafik NVIDIA® GeForce RTX™  RTX3080 Ti, DDR5-4800, WiFi 6E Intel® Killer™ sama seperti siri Stealth GS telah ditawarkan untuk komputer riba sini ini. Selain itu, laptop ini juga turut dilengkapi dengan ciri MSI OverBoost Technology yang dapat beroperasi sehingga 220W secara keseluruhan pada CPU dan GPU untuk memberikan prestasi keseluruhan yang lebih baik.

MSI Vector GP76/66

Anda inginkan laptop dengan prestasi yang cukup bagus pada harga yang lebih mampu milik? Jika anda seorang yang tidak mementingkan sokongan audio, anda boleh memilih siri Vector GP ini kerana ia hadir dengan dua pembesar suara (dibandingkan dengan generasi sebelumnya yang hadir dengan 6 pembesar suara) dan tiada lagi Thunderbolt 4 padanya. Namun begitu, prestasinya masih lagi baik kerana ia ditawarkan dengan Intel® Core™ generasi ke-12, sokongan grafik NVIDIA® GeForce RTX™ dan RAM jenis DDR4, dimana spesifikasi ini sudahpun memadai untuk kegunaan biasa yang sering digunakan oleh orang ramai.

MSI Pulse GL76/6

Siri MSI Pulse GL ini membawakan rekaan yang dihasilkan oleh Maarten Verhoeven yang memberikan perspektif gaming yang berkuasa. Dari segi spesifikasi, ia dilengkapi dengan cip pemprosesan sehingga cip Intel® Core™ sehingga i9 generasi ke-12, NVIDIA® GeForce RTX™ sehingga 3070 dan DDR4-3200 sehingga 64GB. Ia juga hadir dengan fungsi Cooler Boost 5 yang membantu untuk meningkatkan peraliran udara sehingga 15% lebih baik walaupun rekaannnya adalah 33% lebih nipis daripada generasi sebelumnya.

MSI Crosshair 15

Laptop ini direka untuk para peminat permainan video yang ingin merasai pengalaman permainan yang lebih lancar dan menyeronokkan. Ia dibina dengan cip pemprosesan Intel® Core™ i7 generasi ke-11 bersama kad grafik siri NVIDIA® GeForce RTX™ 30. Teknologi Cooler Boost 5 juga telah diletakkan untuk memberikan pengaliran haba yang lebih baik. Jadi anda boleh menggunakan laptop ini dalam masa yang lebih lama tanpa risau ia cepat panas. Masa pendamnya dikatakan 75% lebih rendah daripada dan ini membuatkannya mampu untuk membuat serangan dengan tepat. Terdapat juga fungsi Gaming Mode yang dapat mengoptimasikan prestasi laptop ini apabila ia diaktifkan sekaligus memberi lebih keseronokan bermain. 

MSI Stealth 15M

Jika anda inginkan sebuah komputer riba yang agak nipis untuk memudahkannya dibawa kemana-mana tapi dalam masa yang sama tidak mahu mengorbankan terlalu banyak prestasi untuknya, maka Stealth 15M mungkin untuk anda. Laptop ini seberat 1.8kg dengan setebal 18.2mm sahaja. Dilengkapi pula dengan cip pemprosesan sehingga Intel® Core™ i7, kad grafik NVIDIA® GeForce RTX™ dan PCI-E Gen 4, laptop ini memang sesuai untuk mereka yang inginkan prestasi yang cukup baik untuk produktiviti harian dan masih mampu memberi kepuasan permainan dengan sokongan skrin kadar segar semula sehingga 144hz. 

Komputer Riba Pencipta Kandungan

Siri MSI Creator Z16

Komputer riba ini adalah bagi mereka yang aktif dan sering mencipta kandungan. Oleh sebab itu, anda memerlukan laptop yang dapat beroperasi dengan lebih pantas dan baik untuk kegunaan suntingan harian. Siri MSI Creator Z16 juga adalah alternatif laptop yang anda boleh pertimbangkan untuk dibeli jika inginkan laptop untuk pencipta kandungan pada harga yang mampu milik. Ia hadir dengan dua pilihan model, iaitu Creator Z16 dan juga Creator Z16P biasa.

Bagi model Creator Z16P, skrinnya juga menyokong kadar segar semula sehingga 165Hz dan turut menyokong MSI Pen yang responsif untuk membuat kerja-kerja seni seperti melukis atau suntingan. Paparannya juga menyokong 100% DCI-P3 warna gamut dan mampu menghasilkan ketepatan warna sehingga kurang daripada 2 delta-E. Intel® Core™ sehingga i9 generasi ke-12, NVIDIA® GeForce RTX™ sehingga 3080 Ti, DDR5-4800 sehingga 64GB, pembaca kad SD Express dan Intel® Killer™ Wi Fi 6E turut melengkapkan komputer riba ini.

Manakala bagi model Creator Z16 biasa pula, ia masih mengekalkan nisbah skrin 16:10 tetapi tanpa sokongan MSI Pen dan tiada lagi PD Charging pada USB. Mereka juga meletakkan pembaca kad mikro jenis UHS-III pada model ini. Dari segi spesifikasi pula, ia cuma didatangkan dengan cip Intel® Core™ i7 12700H dan NVIDIA® GeForce RTX™ 3060.

Kesimpulan

Jadi, ini adalah sedikit sebanyak pengenalan yang kami boleh berikan pada anda tentang jenis-jenis komputer yang terbaru dari MSI yang akan dilancarkan pada tahun ini. Memang banyak model yang ditawarkan oleh MSI yang mana ia tersedia dengan pelbagai pilihan yang tentunya akan memenuhi keperluan pelbagai jenis pengguna. Bagi anda yang berminat untuk memiliki salah satu daripada laptop MSI yang terbaru ini, ia akan mula ditawarkan pada penghujung Januari 2022 kelak.

Untuk masa ini, status penawaran tentang bilakah MSI Creator Z16 dan Creator Z16P generasi ke-12 serta Crosshair 15 edisi biasa akan memasuki pasaran Malaysia masih belum diketahui. Pihak MSI juga dikatakan bakal melancarkan laptop model MSI Katana GF dan MSI Sword GF tetapi ia dikhabarkan tidak akan memasuki pasaran Malaysia. Untuk mengetahui maklumat lanjut berkenaan laptop-laptop terbaru MSI ini, jangan ketinggalan untuk menyaksikannya pada 5 Januari, pukul 9 malam melalui akaun Facebook rasmi MSI Malaysia.

Penafian : Advertorial daripada MSI Malaysia

komen


© Amanz / 2022 Kami