Cip pemprosesan Samsung Exynos 2200 boleh dikatakan diantara komponen yang banyak diperkatakan pada tahun lepas kerana kerjasama diantara Samsung dan AMD untuk membina cip pemprosesan tersebut.
Baru-baru ini, Samsung Semikonduktor telah berciap mengatakan bahawa mereka akan memperkenalkan cip pemprosesan tersebut pada 11 Januari 2022 ini dengan tagar #PlaytimeIsOver. Ciapan tersebut turut memperlihatkan bahawa Samsung akan memasuki arena konsol permainan juga, mungkin dengan keluaran konsol mereka sendiri, atau seperti AMD, akan menguasakan konsol-konsol permainan keluaran syarikat-syarikat lain.
Samsung dilihat akan menggunakan cip pemprosesan grafik RDNA2 keluaran AMD didalam SoC Exynos 2200, dan ia dilihat kali pertama bahawa Samsung akan memfokukan kepada arena pembuatan peranti permainan video dan komputer.
Setakat ini, tidak banyak yang diketahui mengenai apakah yang akan diperlihatkan oleh Samsung selain daripada cip pemprosesan tersebut, tetapi kami menjangkakan bahawa Samsung akan memperlihatkan sekurang-kurangnya satu peranti yang akan dikuasakan oleh SoC tersebut di acara pengumuman ini dalam seminggu sahaja lagi.