Cari @ Amanz

Setelah melancarkan siri cip pemprosesan komputer desktop mereka pada pertengahan tahun lepas, Intel kini telah memperlihatkan siri cip pemprosesan generasi ke-12 Alder Lake mereka untuk siri komputer riba melalui Intel Alder Lake-H sewaktu acara CES 2022.

Model paling berkuasa dalam siri ini ialah Intel Core i9-12900HK yang hadir dengan 14 teras, terdiri daripada enam teras Performance dan lapan teras Efficiency yang mana ia hadir dengan kelajuan lewahjam sepantas 5.0GHz dan menggunakan 45W kuasa.

Intel Core i9-12900H pula hadir dengan spesifikasi teras dan kelajuan maksima yang sama, cuma perbezaan yang paling ketara apabila kedua-dua model tersebut dibandingkan ialah model pertama hadir dengan kemampuan melewahjam manual berbanding dengan model H sahaja.

Menariknya, Intel Core i7-12800H dan Intel Core i7-12700H turut dilengkapi jumlah teras yang sama, tetapi mempunyai kelajuan maksima yang sedikit lebih rendah berbanding dengan model Intel Core i9 pada 4.8GHz dan 4.7GHz. Model-model ini juga dilihat hadir dengan TDP 45W.

Cip-cip pemprosesan dalam siri ini dilihat akan digunakan dalam komputer riba berkuasa, khususnya untuk komputer riba gaming pengganti desktop, dan komputer riba yang akan digunakan oleh kreatif profesional untukj tujuan menyunting dan mengolah video ataupun model-model 3D.

Intel turut melancarkan sejumlah siri CPU Intel Core i7, i5 dan i3 dalam siri Alder Lake H ini untuk siri komputer riba yang memerlukan kuasa pemprosesan yang tinggi, tetapi pada tanda harga yang tidak begitu mahal.

Intel juga dilihat bercakap sedikit mengenai siri cip pemprosesan Alder Lake-U dan Alder Lake-P mereka, tetapi siri cip pemprosesan tersebut, yang dijangka akan digunakan dalam siri komputer riba Intel Evo akan diperkenalkan di masa akan datang.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd