Carian
Siri Komputer Riba Acer Swift X Dikemaskini Dengan CPU Intel Alder Lake-H, Kad Grafik Arc Alchemist
January 5, 2022 Nazrin

Dengan pelancaran siri CPU Intel Alder Lake-H untuk komputer riba berkuasa, Acer dilihat telah mengemaskini model komputer riba Acer Swift X mereka dengan komponen-komponen terbaru oleh syarikat cip pemprosesan tersebut.

Bermula dengan model Acer Swift X 14, komputer riba ini dikuasakan oleh pilihan CPU Intel Alder Lake-H, memori LPDDR5 sehingga 16GB dan storan SSD sebesar 2TB. Dari segi grafik pula, model Acer Swift X 14 ini dilengkapi dengan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 3050 Ti, dan dari segi paparan, ia dimuatkan dengan paparan IPS 14 inci dengan resolusi 2240 x 1400 pixel.

Lebih menarik lagi ialah Acer Swift X 16, yang hadir dengan paparan IPS 16 inci dengan resolusi 2560 x 1600 pixel, CPU Intel Alder Lake-H, memori LPDDR5 sehingga 16GB dan storan SSD sehingga 2TB. Apa yang membuatkan komputer riba ini lebih menarik ialah ia boleh dilihat sebagai diantara komputer riba di pasaran pertama yang akan dilengkapi dengan kad grafik Arc Alchemist keluaran Intel.

Untuk anda yang mahukan pilihan I/O yang banyak, Acer Swift X 14 dan 16 juga dilengkapi dengan dua palam USB 3.2 Gen 1, dua palam Thunderbolt 4 dan satu palam HDMI 2.0. Oleh kerana ia dikuasakan cip pemprosesan Intel terbaru, ia juga hadir dengan sokongan untuk sambungan WiFi 6E.

Walaupun hadir dengan spesifikasi yang berkuasa, kedua-dua komputer riba ini hadir dengan rekaan yang agak nipis, dimana ketebalannya hanyalah sekitar 17mm. Berat kedua-dua komputer riba ini dilihat sekitar 1.4kg untuk model 14 inci dan 1.7kg sahaja untuk model 16 inci.

Ini bermakna bahawa komputer kedua-dua model komputer riba ini, walaupun hadir dengan spesifikasi berkuasa, masih lagi nipis dan ringan untuk dibawa kemana-mana untuk pelbagai jenis kegunaan.

Pihak Acer mengatakan bahawa Acer Swift X 14 dan 16 dengan cip pemprosesan Intel Alder Lake terbaru ini akan diperlihatkan di beberapa pasaran terpilih pada awal tahun ini.

Komen