Predator Triton 500 SE Dan Helios 300 Dikemaskini Dengan Cip Pemprosesan Intel Alder Lake-H

Diterbitkan pada Jan 5, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Siri komputer riba gaming keluaran Acer, iaitu Predator Gaming boleh dikatakan diantara jenama gaming yang cukup terkenal khususnya diantara golongan gamer di Malaysia.

Terkini, dengan pelancaran cip pemprosesan Intel Alder Lake-H untuk komputer riba berkuasa, Acer tidak membazir masa dengan mengumumkan kemaskini kepada dua daripada model komputer riba gaming paling popular mereka, iaitu Predator Helios 300 dan Predator Triton 500 SE.

Bermula dengan Predator Triton Helios 300, komputer riba ini hadir dengan dua pilihan paparan skrin pada saiz 15.6 inci dan 17.3 inci pada resolusi 2560 X 1440 dan juga kadar segar semula 165Hz. Paparan ini juga dilihat hadir dengan sokongan untuk teknologi penyesuai grafik NVIDIA G-SYNC yang menjanjikan pengurangan carikan skrin apabila menggerakkan permainan pada resolusi dan juga kadar segar semula yang tinggi.

Didalam komputer riba Predator Helios 300 ini ialah cip pemprosesan Intel Core i7 Alder Lake-H, memori DDR5 sehingga 32GB dan juga storan SSD dalaman sehingga 2TB yang cukup besar dan pantas untuk menggerakkan pelbagai permainan komputer moden.

Dari segi pilihan kad grafik pula, komputer riba ini dilihat hadir dengan sejumlah pilihan kad grafik, yang mana model paling berkuasa yang ditawarkan ialah NVIDIA GeForce RTX 3080 Max-P yang cukkup berkuasa untuk memanfaatkan resolusi tinggi paparan yang ditawarkan pada komputer riba ini.

Predator Triton 500 SE dilihat sebagai komputer riba gaming nipis dan berkuasa didalam siri ini, dan berdasarkan spesifikasi yang dilihat, ia tidak sukar untuk melihat mengapa. Seperti model sebelum ini, Predator Triton 500 SE hadir dengan paparan bersaiz 16 inci dengan resolusi 2560×1600 dengan kadar segar semula 240Hz yang sangat tinggi.

Dari segi komponen, Acer masih belum mengesahkan model cip pemprosesan khusus, tetapi ia diketahui bahawa Triton 500 SE ini akan dikuasakan oleh sebuah cip pemprosesan Intel Core i9 Alder Lake-H, dan dimuatkan dengan memori LPDDR5 32GB dengan storan SSD sebesar 2TB.

Untuk penawaran grafik pula, ia akan hadir dengan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 3080 Ti, iaitu kad grafik paling berkuasa untuk komputer riba gaming setakat ini.

Dari segi ciri-ciri tambahan, kedua-dua Predator Helios 300 dan Triton 500 SE ini dilihat menggunakan kipas penyejuk Aeroblade 3D generasi kelima dan bahan penebat haba cecair logam yang menjanjikan CPU Alder Lake-H ini kekal sejuk dan boleh beroperasi pada tahap optimum pada bila-bila masa sahaja.

Selain daripada itu, komputer-komputer riba ini juga hadir dengan sokongan WiFi 6E, palam HDMI 2.1, Thunderbolt 4 dan USB 3.2.

Acer mengatakan bahawa Predator Helios 300 akan hadir di pasaran-pasaran terpilih pada bulan Mei 2022, manakala Predator Triton 500 SE akan mula ditawarkan pada bulan Mac 2022 kelak. Tarikh pelancaran untuk pasaran tempatan masih tidak diketahui setakat ini.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2022 Kami