Alienware X14 Komputer Riba Gaming Padat, Berkuasa Dengan Spesifikasi Dan Rekaan Yang Sangat Menarik

Diterbitkan pada Jan 5, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Tidak lama selepas memperlihatkan mesin pelayan Concept Nyx mereka, Alienware sekali lagi memperlihatkan komputer gaming yang boleh dikatakan bukan sahaja berkuasa, tetapi unik dari segi rekaan juga.

Alienware X14 ialah komputer riba gaming bersaiz 14 inci yang terbaru keluaran mereka. Paparan IPS 14 inci komputer riba ini mempunyai resolusi Full HD dengan kadar segar semula 144Hz dan menyokong teknologi Dolby Vision HDR.

Komputer riba ini juga dikuasakan oleh CPU Intel Core i7 Alder Lake-H, dan dimuatkan juga dengan memori DDR5 sebanyak 32GB dan storan SSD sebesar 2TB. Dari segi penawaran kad grafik, ia dikatakan bahawa Alienware X14 ini akan hadir dengan pilihan kad grafik sehingga NVIDIA GeForce RTX 3060 didalam rangka yang padat dan nipis ini.

Bercakap mengenai rupa fizikal komputer riba ini, dua perkara unik yang dapat dilihat ialah penggunaan engsel dual-torque yang dikatakan membantu Alienware X14 ini mengekalkan rekaan nipisnya pada ketebalan 14.4mm sahaja.

Daripada gambaran yang diperlihatkan, Alienware X14 meletakkan pembesar suaranya di atas bahagian papan kekunci, dan kesemua palam I/O komputer riba ini dimuatkan di bahagian belakang komputer riba ini.

Ia termasuklah dua palam Thunderbolt 4, satu palam USB 3.2 Gen2 Type-C, satu palam USB 3.2 Gen1 Type-A, satu palam HDMI, satu palam audio 3.5mm dan satu pembaca kad MicroSD.

Dalam pada itu, Alienware X14 ini juga hadir dengan sokongan pengecasan pantas 160W yang mana ia menggunakan salah satu daripada dua palam Thunderbolt 4 untuk mengecas komputer riba ini.

Walaupun komputer riba Alienware X14 ini dilancarkan di acara CES pada awal tahun, mereka yang berminat untuk mendapatkan komputer riba ini nampaknya akan perlu menunggu agak lama, kerana Alienware mengatakan bahawa komputer riba ini hanya akan mula dijual sekitar penghujung tahun ini.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2022 Kami