Alienware Concept Polaris Ialah Percubaan Terbaru Alienware Untuk Mempopularkan Aksesori eGPU

Diterbitkan pada Jan 5, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Apabila Alienware menghidupkan semula jenama komputer riba mereka beberapa tahun yang lalu, mereka turut memperlihatkan aksesori eGPU mereka yang dinamakan Alienware Graphics Amplifier. Melalui aksesori ini, pemilik komputer riba boleh menggunakan kad grafik kelas desktop untuk menggerakkan permainan-permainan komputer kegemaran mereka tanpa perlu memiliki sebuah desktop.

Sayangnya, konsep eGPU mereka tidak begitu berjaya, khususnya kerana ia dilihat bahawa ia hanya boleh disambungkan kepada komputer-komputer riba Alienware tertentu sahaja, dan telah dihentikan pembangunannya. Walaupun begitu, Alienware dilihat tidak berputus asa dan memperlihatkan sebuah lagi konsep eGPU baru yang dinamakan Alienware Concept Polaris.

eGPU Concept Polaris ini boleh dikatakan sebuah evolusi kepada aksesori Graphics Amplifier, khususnya dari segi rekaan produk tersebut yang kelihatan lebih selari dengan konsep peranti Alienware yang terkini. Alienware mengatakan bahawa rangka eGPU ini boleh menyokong kad grafik dengan panjang 16 inci dengan dua slot pengembangan, dan hadir dengan sistem penyejukan cecair terbina didalamnya.

Bukan itu sahaja, Alienware dilihat mempelajari daripada kesilapan lama mereka, dimana Concept Polaris ini hanya memerlukan sambungan kepada palam Thunderbolt 4, dan digabungkan dengan adapter kuasa 425W untuk menggerakkan kad grafik tersebut. Selain daripada itu, ia juga hadir dengan palam USB Type-A, USB Type-C dan juga palam Ethernet yang menyokong sambungan internet sepantas 2.5Gbps.

Setakat ini, eGPU Alienware Concept Polaris ini masih lagi hanya sebuah konsep daripada Alienware. Ia tidak diketahui lagi sekiranya syarikat tersebut akan mula menjual aksesori ini secara lebih meluas di masa akan datang.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2022 Kami