Sony Memperlihatkan Butiran Mengenai Peranti Realiti Maya PlayStation VR 2

Diterbitkan pada Jan 5, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Sony, bersama-sama dengan Oculus dan juga HTC dilihat sebagai salah satu daripada beberapa syarikat yang benar-benar serius mengenai penawaran peranti realiti maya mereka, dimana mereka telah melancarkan peranti PlayStation VR mereka sebelum ini untuk digunakan bersama-sama dengan konsol PlayStation 4.

Syarikat teknologi dari Jepun tersebut hari ini telah memperlihatkan butiran mengenai peranti realiti maya generasi kedua mereka, yang akan dinamakan PlayStation VR 2. Rekaan untuk peranti tidak diperlihatkan lagi, tetapi Sony telah mengumumkan sejumlah penambahbaikan yang akan tiba untuk peranti tersebut.

R

Pertama ialah PlayStation VR 2 akan hadir dengan sokongan untuk konsol Sony PlayStation 5, dimana ia juga akan hadir dengan pengawal baru yang dinamakan VR2 Sense. Dari segi resolusi, paparan untuk mata kiri dan kanan mempunyai resolusi 2000 x 2040 dan kadar segar semula sehingga 120Hz yang menjanjikan pengalaman menggunakan realiti maya yang lebih baik.

PlayStation VR 2 juga mempunyai kamera terbina didalam peranti tersebut untuk menjejak pergerakan kepala, mata dan juga peranti VR2 Sense yang digunakan untuk menggerakkan watak dalam permainan.

Ia juga kini mempunyai motor tindakbalas haptik untuk memperbaiki pengalaman gaming dalam arena realiti maya dan membolehkan orang ramai untuk menikmati dunia realiti maya dengan lebih baik.

Setakat ini, Sony masih belum memperlihatkan bilakah peranti ini akan dilancarkan, tetapi telah mengesahkan bahawa mereka akan membangunkan kandungan eksklusif berdasarkan permainan Horizon Zero Dawn dan Horizon Forbidden West apabila ia dilancarkan kelak.

Sumber: PlayStation Blog

komen


© Amanz / 2022 Kami