Cari @ Amanz

Siri komputer riba gaming ASUS Zephyrus, khususnya model G14 dan G15 dilihat sebagai percubaan ASUS untuk memperkenalkan sebuah komputer riba gaming yang bukan sahaja hadir dengan rekaan minimalis dan padat, tetapi juga dimuatkan dengan komponen-komponen terbaru yang berkuasa.

Dikala kebanyakan komputer riba gaming dan produktiviti yang dilancarkan di acara CES 2022 memperlihatkan penggunaan cip pemprosesan Intel Alder Lake-H, ASUS ROG Zephyrus G14 dan G15 kekal menggunakan cip pemprosesan AMD Ryzen pada model komputer riba ini.

Bermula dengan ROG Zephyrus G14, komputer riba ini masih lagi hadir dengan paparan bersaiz 14 inci, tetapi kini mempunyai nisbah paparan 16:10 yang lebih tinggi berbanding dengan model-model sebelum ini, dengan resolusi 1440p, dan kadar segar semula 120Hz. Bukan itu sahaja, paparan Zephyrus G14 ini juga boleh memperlihatkan 100 peratus gamut warna DCI-P3 dan nilai kecerahan 500 nit.

Bagi mereka yang tidak mahukan paparan beresolusi tinggi, ASUS turut memperlihatkan model dengan paparan skrin beresolusi Full HD, kadar segar semula 144Hz dan nilai kecerahan 450 nit. Ia juga hadir dengan kebolehan untuk memaparkan 100 peratus gamut warna sRGB.

Dari segi spesifikasi dalaman, ROG Zephyrus G14 dikuasakan oleh CPU AMD Ryzen 9 6900HS, sokongan memori DDR5 dan juga memperlihatkan penggunaan kad grafik AMD Radeon RX 6800S buat kali pertama. Ini juga adalah kali pertama sebuah komputer riba ASUS ROG Zephyrus dikuasakan oleh kedua-dua CPU dan GPU keluaran AMD.

Beralih kepada ASUS ROG Zephyrus G15, komputer riba ini hadir dengan paparan bersaiz 15.6 inci dengan resolusi QHD dan kadar segar semula 240Hz. Paparan ini juga mampu memperlihatkan 100 peratus gamut warna DCI-P3, tetapi hadir dengan nilai kecerahan lebih rendah pada 300 nit. Walaupun begitu, ia menyokong teknologi visual Dolby Vision dan kejituan warna paparan ini disahihkan sendiri oleh syarikat pengolah warna Pantone.

Dari segi spesifikasi dalaman, ROG Zephyrus G15 dikuasakan oleh pilihan CPU sehingga AMD Ryzen 9 6900HS, dan dikuasakan oleh pilihan kad grafik sehingga NVIDIA GeForce RTX 3080 Ti yang baru dilancarkan untuk komputer riba.

Kedua-dua komputer riba ini juga dilengkapi dua palam USB 3.2 Gen 2 Type-C, dua palam USB 3.2 Gen 2 Type-A, palam HDMI 2.0b pembaca kad MicroSD dan juga palam audio 3.5mm untuk pembesar suara dan juga mikrofon. Dari segi pengecasan, kedua-dua komputer riba ini akan hadir dengan sokongan pengecasan PD sehingga 100W.

ROG Zephyrus G14 dilengkapi dengan bateri 76Wh yang menjanjikan jangkahayat bateri selama 10 jam, manakala ROG Zephyrus G15 hadir dengan bateri 90Wh dengan jangkahayat bateri selama 14 jam.

Setakat ini, ia tidak diketahui lagi bilakah ASUS akan melancarkan kedua-dua komputer riba ini, tetapi berdasarkan pelancaran sebelum ini, butiran lanjut mengenainya diperlihatkan pada pertengahan tahun ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd