Acara CES 2022 memperlihatkan JBL hadir dengan beberapa penawaran baharu. Melaluinya, JBL Live Pro 2, JBL Live Free 2 dan JBL Reflect Aero telah diumumkan secara rasmi. Ketiga-tiganya menampilkan sisi berbeza pada setiap rekaan fizikal, tetapi ditawarkan pada julat harga yang mampu milik.

JBL Live Pro 2 menampilkan sokongan pembatalan hingar adaptif dengan ciri ambien pintar. Ia juga mampu menawarkan masa main balik mencapai 40 jam lamanya dengan sekali pengecasan. Di mana, 10 jam adalah fon telinga itu sendiri dan ia boleh meningkat kepada 30 jam dengan pod pengecasan. Turut melengkapinya, enam mikrofon turut digunakan dengan teknologi pengasingan audio dan bunyi hingar latar belakang JBL yang tersendiri. Tidak ketinggalan, fon telinga ini turut mempunyai penarafan kalis air IPX5, selain turut dilengkapi akses untuk pembantu maya seperti Google Assistant dan Alexa. Dari segi rekaan, ia lengkap dengan fon telinga dari jenis terbuka bersama tubuh bertangkai panjang yang menyokong kawalan sesentuh.

Seterusnya, JBL Live Free 2. Tidak seperti Live Pro 2, ia tidak mempunyai fon telinga bertangkai. Sebaliknya, ia tampil lebih kecil dan padat. Ia juga mampu menawarkan masa main balik sehingga 35 jam – dengan 7 jam untuk fon telinga dan meningkat kepada 28 jam dengan pod pengecas. Seterusnya, ia turut dilengkapi enam mikrofon dengan teknologi pengasingan audio dan bunyi hingar latar belakang. Pada masa sama, sokongan pembatalan hingar aktif turut disertakan untuk audio lebih baik. Lain-lain spesifikasi adalah penarafan kalis air IPX5, sokongan untuk Google Fast Pair, akses pembantu maya seperti Alexa dan Google Assistenat dan sebagainya.

Akhir sekali, JBL Reflect Aero pula menawarkan rekaan bersayap dengan pod pengecas berbentuk bujur. Menariknya, fon telinga ini juga boleh disesuaikan untuk pengalaman penggunaan lebih baik. Ia juga dilengkapi pembatalan hingar aktif dan enam mikrofon daripada JBL lengkap dengan teknologi pengasingan audio dan bunyi hingar latar belakang. Ia juga mempunyai penarafan kalis air IP68 dan ketahanan bateri yang mampu bertahan sehingga 8 jam. Ia bagaimanapun mampu meningkat sehingga 16 jam dengan pod pengecas. Tidak ketinggalan, ia turut menyokong pembantu maya seperti Alexa dan Google Assistant.
Untuk harga jualan, JBL Live Free 2 dijual pada $180 (~RM754). Seterusnya, JBL Live Free 2 dan JBL Reflect Aero ditawarkan pada $150 (~RM629).
Sumber : CNET