Siri Vivo V23 akhirnya diumumkan secara rasmi di India, sebentar tadi. Ia hadir dalam dua variasi berbeza yang terdiri dengan Vivo V23 dan Vivo V23 Pro. Kedua-duanya hadir dengan rangkaian 5G terbina bersama kemasan panel belakang yang unik – di mana ia akan berubah warna apabila terdapat cahaya yang dipantulkan padanya. Sungguhpun begitu, peranti-peranti ini tetap mempunyai perbezaan ketara dari aspek spesifikasi dalaman.

Bercakap mengenai Vivo V23 Pro 5G, peranti ini didatangkan dengan skrin sebesar 6.56-inci AMOLED beresolusi FHD+ (2376 x 1080 piksel). Ia kemudiannya dipadankan dengan cip MediaTek Dimensity 1200, memori sehingga 12GB RAM dan storan dalaman mencapai 256GB. Bateri pula adalah sebesar 4300mAh yang menyokong pengecasan pantas 44W. Tetapan kamera utama terdiri dengan 108MP + 8MP + 2MP dan kamera swafoto pula adalah sebesar 50MP + 8MP. Lain-lain spesifikasi termasuklah Bluetooth 5.2, port sambungan USB-C, pengimbas cap jari pada skrin dan sebagainya.

Untuk Vivo V23 5G pula, ia menampilkan skrin bersaiz 6.44-inci AMOLED beresolusi FHD+ (2400×1080 piksel). Seterusnya, ia dipadankan dengan cip MediaTek Dimensity 920, memori sehingga 12GB RAM dan storan dalaman mencapai 256GB. Bateri pula adalah 4,200mAh yang menyokong pengecasan pantas 44W. Turut melengkapinya, kamera utama dengan tetapan 64MP + 8MP + 2MP dan kamera swafoto sebesar 50MP + 8MP. Lain-lain spesifikasi adalah bluetooth 5.2, port sambungan USB-C, pengimbas cap jari pada skrin dan sebagainya.

Untuk harga jualan, Vivo V23 dijual pada harga bermula INR 38,990 (~RM2,197), sementara itu Vivo V23 pula berharga bermula INR 29,990 (~RM1,690). Sekadar makluman, Vivo juga telah mengesahkan kehadirannya untuk pasaran tempatan pada 13 Januari ini. Bagi melihat adakah ia akan mempunyai penawaran yang sama atau sebaliknya, segalanya bakal terjawab sewaktu pelancaran rasmi kelak.
Sumber : Vivo India