Carian
Lenovo ThinkBook Plus Gen 3 Hadir Dengan Skrin Sekunder 8″ Dan Stylus Terbina
January 6, 2022 Effi Saharudin

Skrin sekunder pada telefon pintar sudah menjadi normal tahun lalu dan juga dipopularkan pada komputer riba oleh ASUS. Lenovo ThinkBook Plus Gen 3 yang dilancarkan pagi ini menjadi sebuah lagi komputer riba yang hadir dengan skrin sekunder. Skrin sebesar 8″ LCD diletakkan bersebelahan papan kekunci dan disertakan untuk meningkatkan produktiviti.

Komputer hadir dengan skrin utama 17.3″ dengan nisbah ultra lebar 12:10, dipadankan dengan cip Intel Core H-Series gen-12, memori sehingga 32GB LPDDR5 dan storan SSD sehingga 2TB. Menurut Lenovo skrin sekunder boleh digunakan untuk memudahkan suntingan video dengan susur masa dipaparkan padanya. Sebuah stylus boleh digunakan untuk melakukan lakaran terus pada skrin yang mempunyai tempat simpanannya sendiri di belakang komputer riba.

Ia turut boleh digunakan untuk melancarkan aplikasi Android yang tidak mengganggu skrin utama. Bagi pengguna telefon Android, skrin peranti anda turut boleh dipancarkan pada skrin ini supaya telefon tidak perlu dipegang. Keseluruhan komputer adalah seberat sekitar 2kg.

Papan kekunci berlampu sementara pad sesentuh pula hadir dengan permukaan kaca. Kamera infra merah HD penuh disertakan juga bersama dengan pengimbas cap jari terbina pada butang kuasa. Sistem audio pula adalah dari Harman Kardon dengan sokongan sistem Dolby Atmos. Lenovo ThinkBook Plus Gen 3 akan mula dijual Mei hadapan pada harga bermula $1399 (~RM5866).

Komen