Rangkaian peranti iQOO dikemaskini dengan beberapa model baharu lagi. Ianya terdiri dengan iQOO 9 dan iQOO 9 Pro yang merupakan peranti berspesifikasi mercu untuk jenama berkenaan pada tahun ini. Kedua-duanya juga mempunyai banyak persamaan baik dari segi ciri fizikal dan spesifikasi dalaman. Apa yang membezakannya hanyalah sokongan pada konfigurasi kamera utama, jenis panel hadapan yang digunakan dan pengecasan nirwayar (versi Pro sahaja).
Bercakap lebih lanjut mengenai peranti-peranti ini, kedua-duanya hadir dengan skrin sebesar 6.78-inci AMOLED dengan kadar segar semula mencapai 120Hz. Tetapi, iQOO 9 Pro menggunakan skrin sejenis melengkung dengan resolusi 3200 x 1440 piksel, sementara itu iQOO 9 pula dilengkapi skrin rata dengan resolusi FHD+. Ia kemudiannya dipadankan dengan cip SnapdraGon 8 Gen 1, memori sehingga 12GB RAM, storan dalaman mencapai 256GB dan bateri 4,700mAh yang menyokong pengecasan pantas 120W.
Tetapan kamera utama pula terdiri dengan 50MP (utama) (OIS) + 50MP (Ultra-lebar) + 16MP (potret) dengan kebolehan fisheye untuk model iQOO 9 Pro. Peranti ini turut menyokong keboleham zum digital mencapai 30X. Sementara itu, iQOO 9 pula dilengkapi 50MP (utama) + 13MP (Ultra-sudut lebar) + 12MP (potret) dan kebolehan zum digital pula terhad sehingga 20X sahaja. Kamera swafoto adalah sama untuk kedua-duanya dengan konfigurasi 16MP.
Lain-lain spesifikasi yang menyokong adalah port sambungan USB-C, NFC, pengimbas cap jari pada skrin dan sebagainya. Untuk harga, iQOO 9 dijual bermula RMB3999 (~RM2,643), manakala iQOO 9 Pro pula berharga bermula RMB4999 (~RM3,303). Buat masa ini, kedua-duanya hanya ditawarkan di pasaran China terlebih dahulu.