Carian
Dron Dengan Mesin AED Berjaya Menyelamatkan Mangsa Serangan Jantung Di Sweden
January 6, 2022 Effi Saharudin

Dron boleh membantu dalam memberikan pertolongan kecemasan dengan pantas. Beberapa paten telah difailkan dengan bebrapa lagi dron telah diuji sebelum ini dengan pelampung di Australia dan alat Automated External Defibrillators (AED) di Belanda. Tetapi di Sweden bulan lalu, buat pertama kalinya seorang mangsa serangan jantung berjaya diselamatkan menggunakan dron.

Dron Emergency Medical Aerial Delivery service (EMADE) menyelamatkan seorang lelaki berusia 71 tahun yang mengalami serangan jantung ketika membersihkan salji di rumah. Sejurus selepas panggilan kecemasan diterima, sebuah dron EMADE ke lokasi dan menghantar alat AED dalam masa tiga minit yang kemudiannya digunakan oleh seorang doktor bagi menyelamatkan mangsa. Mangsa kini selamat selepas mendapat rawatan di hospital.

Dalam kes serangan jantung, bantuan kecemasan pantas menggunakan AED dan CPR adalah amat perlu bagi memastikan nyawa dapat diselamatkan. Tanpa dua bantuan ini, peluang mangsa kekal hidup sebelum ketibaan ambulans adalah hanya sekitar 10% sahaja.

Syarikat Everdrone yang menghasilkan EMADE kini bercadang mengembangkan perkhidmatan penghantaran AED menggunakan dron mereka secara lebih meluas di Sweden. Di Eropah sahaja lebih 275,000 kes serangan jantung dilaporkan setiap tahun dengan 70% berlaku tanpa alat AED di rumah.

Komen