ASUS Mengemaskini Siri Komputer Riba TUF Gaming Dengan CPU Intel Alder Lake-H

Diterbitkan pada Jan 6, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Siri komputer riba ASUS TUF Gaming dikenali orang ramai seperti komputer riba gaming dengan spesifikasi yang berkuasa, tetapi hadir dengan rekaan rangka yang asas bagi mereka yang lebih mementingkan prestasi daripada penambahan dari segi fungsi dan ciri-ciri.

Dengan pelancaran siri cip pemprosesan Intel Alder Lake-H, ASUS dilihat mengemaskini siri komputer riba ini dengan komponen tersebut, termasuklah model ASUS TUF Gaming F15, TUF Gaming F17 dan ASUS TUF Dash F15.

Bermula dengan ASUS TUF Gaming F15 dan F17, kedua-dua komputer riba ini hadir dengan paparan skrin bersaiz 15 dan 17 inci dengan pilihan resolusi Full HD dengan kadar segar semula 300Hz, ataupun QHD dengan kadar segar semula 165Hz.

Dikuasakan CPU Intel Core i7-12700H dan kad grafik sehingga NVIDIA GeForce RTX 3070, komputer riba gaming ini juga hadir dengan sistem penyejukan yang dikemaskini dengan kipas penyejuk dengan 84 bilah untuk menyejukkan komponen-komponen dalaman dengan lebih optimum.

Penggunaan cip MUX mengurangkan masa pendam penghantaran data dari CPU ke kad grafik ke paparan, dan ini akan membantu dalam meningkatkan prestasi komputer riba ini memberi pengguna memberi nilai FPS lebih tinggi berbanding model sebelum ini.

Untuk model ASUS TUF Dash F15 pula, komputer riba gaming ini hadir dengan rekaan yang lebih nipis dan padat, tetapi masih dilengkapi komponen-komponen berkuasa.

ASUS TUF Dash F15 dikuasakan CPU Intel Core i7-12650H memori DDR5 dan juga dua slot storan SSD NVMe PCIe 4.0 untuk pengguna memuatkan jumlah storan yang diperlukan mereka. Ia juga dilengkapi pilihan kad grafik sehingga sebuah NVIDIA GeForce RTX 3070 yang sangat berkuasa untuk menggerakkan paparan 15.6 inci beresolusi QHD dan kadar segar semula 165Hz.

Walaupun dilihat mempunyai komponen sangat berkuasa, komputer riba ini juga hadir dengan rangka yang lebih nipis daripada 20mm dan menyokong pelbagai teknologi seperti Thunderbolt 4, WiFi 6E, dan pengecasan PowerDelivery sehingga 100W.

Setakat ini, ASUS masih belum memberitahu bilakah mereka akan melancarkan komputer-komputer riba ini, tetapi berdasarkan pengumuman-pengumuman mereka sebelum ini, kita akan memperlihatkan lebih banyak butiran mengenainya menjelang pertengahan tahun ini.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2022 Kami