Cari @ Amanz

Samsung Galaxy A03s telah dilancarkan di Malaysia dengan tanda harga RM559 untuk sebuah. Secara keseluruhannya, tidak banyak perubahan yang dibuat oleh Samsung pada peranti ini. Ia masih menampilkan sejumlah ciri dan fungsi yang hampir sama dengan pendahulunya. Antara titik jualan peranti yang diketengahkan oleh Samsung pada peranti ini – termasuklah skrin besar, sistem tri-kamera di belakang dan bateri besar. Bagaimana dengan prestasinya dalam dunia nyata? Kami akan ceritakan dalam artikel ulasan ini. Teruskan membaca.


Spesifikasi ringkas peranti

Samsung Galaxy A03s
Skrin6.5″ PLS TFT LCD, 720 x 1600 (HD+), 60Hz
PemprosesMediaTek MT6765 Helio P35 (12nm)
Cip4 x 2.35 GHz Cortex-A53
4 x 1.8 GHz Cortex-A53
Cip GrafikPowerVR GE8320
RAM4 GB
Muatan Dalaman64 GB (microSD 1TB)
Kamera Utama13 + 2 + 2 Megapixel
(f/2.2 + f/2.4 + f/2.4)
Kamera Depan5 Megapixel (f/2.2), 1080p @30fps
Bateri5,000 mAh
Pengecasan 10W
SIM/TelefoniSIM Nano + SIM Nano + MicroSD
NFC
Infra Merah
Kalis Air
Sistem ImbasanPengimbas Cap Jari
Imbasan Wajah
Harga JualanRM559

Rekaan

Perubahan di antara Samsung Galaxy A03s dengan model terdahulu tidak begitu ketara. Sekilas pandang, seakan tiada langsung yang membezakan di antara kedua-duanya. Melainkan, anda melihat pada panel belakang peranti. Di mana, tiada langsung sebarang unsur kemasan seumpama prisma yang ditemui pada Samsung Galaxy A03s. Sejujurnya, ia mempunyai binaan tubuh yang baik meskipun hanya menggunakan bahan berasaskan plastik secara menyeluruh. Dalam kesederhanaan masih terdapatnya penekanan untuk aspek rekaan sebegini. Di mana, Samsung mengutamakan keselesaan, selain lebih cenderung memilih saiz peranti yang ideal untuk digunakan oleh kebanyakan pengguna. Penggunaan kemasan pusam pada panel belakang peranti turut menambahkan keselesaan ketika dipegang tanpa risau peranti mudah lolos daripada genggaman.

Bagi mereka yang mahukan peranti yang tidak mudah kotor, Samsung Galaxy A03s semestinya menggembirakan anda. Terutamanya, apabila anda mendapatkannya dalam kemasan berwarna hitam atau biru. Namun begitu, tiada jaminan untuk peranti ini akan bebas sepenuhnya daripada kesan calar halus. Lebih membimbangkan, tiada sebarang kerangka pelindung yang disediakan dalam kotak pembelian. Dengan ini, anda perlu mendapatkannya secara berasingan menerusi mana-mana kedai atas talian atau fizikal yang ada menjualnya.

Seterusnya, skrin sejenis rata bersaiz 6.5-inci PLS LCD turut menjadi pilihan Samsung. Di mana, ia adalah jenis skrin yang sama digunakan pada pendahulunya. Perlu diakui, ia masih baik untuk digunakan walaupun hanya beresolusi HD+ dengan kepadatan piksel 270ppi. Pada sesetengah orang mungkin ia agak mengecewakan. Ditambah pula dengan binaan bezel yang tebal pada bahagian bawah skrin, sudah semestinya membuatkan segelintir pengguna merasa kurang berkenan atau sakit mata apabila memandangnya.

Tetapi, Samsung masih cuba lakukan yang terbaik. Pada masa sama, jangan terlalu meletakkan harapan yang tinggi untuk sebuah peranti bajet di bawah julat harga RM600. Walaupun ada beberapa peranti setara yang mampu menyajikan ciri lebih baik, tetapi kebanyakan produk Samsung masih mempunyai kelompok peminat yang tersendiri. Butang kuasa dan laras suara yang diperbuat daripada polikarbonat terletak pada sisi kanan. Menariknya, model kali ini juga dilengkapi pengimbas cap jari fizikal yang terbina pada butang kuasa.

Kalau masih ingat, pendahulunya langsung tidak menyertakan fungsi ini sebaliknya ia hanya dibekalkan sistem imbasan wajah untuk tujuan sekuriti. Seterusnya, sisi bertentangan pula adanya slot untuk ruang dwi-SIM dan kad MikroSD. Bergerak ke bahagian bawah terdapatnya satu pembesar suara mono, port sambungan USB-C dan bicu audio 3.5mm.


Perisian & Pengalaman Penggunaan

Samsung Galaxy A03s dilengkapi pelancar OneUI 3.1 Core berasaskan Android 11. Ini adalah pelancar berasaskan OneUI yang lebih rendah berbanding versi sedia ada. Namun begitu, tidak bermakna Samsung membuang sebahagian besar fungsi utama daripadanya. Ia masih mesra untuk penggunaan sebelah tangan. Turut boleh dilihat, beberapa aplikasi pihak ketiga sudah sedia terpasang. Tetapi, ia masih boleh dibuang sekiranya mahu berbuat demikian. Pada masa sama, Samsung juga masih mengekalkan beberapa ciri lain seperti mod fokus, mod gelap, keupayaan untuk menyembunyikan aplikasi dan sebagainya.

Untuk tunjang utama, Samsung Galaxy A03s menggunakan cip pemprosesan Mediatek Helio P35. Ia membawakan binaan cip lapan-teras, menerusi Octa-core 1.8 GHz Cortex-A53 bersama GPU PowerVR GE8320. Seterusnya, pilihan memori dan storan masih sama seperti model sebelumnya iaitu 4GB RAM dan 64GB ROM (eMMC 5.1). Ruang ini turut boleh diperluaskan menerusi slot mikroSD khusus dengan had maksimum 1TB.

Berdasarkan pengalaman kami, prestasi peranti berada pada tahap sederhana yang mana ia masih agak baik untuk penggunaan asas, namun tidak cukup hebat untuk julat harga yang ditawarkan. Sejujurnya, penggunaan skrin besar LCD dengan resolusi rendah membuatkan paparan kelihatan kurang tajam. Bukan itu sahaja, penghasilan semula warna juga kurang menyerlah dengan kadar segar semula standard yang menyokongnya.

Sebagai contoh, penggunaan untuk melayari web dan aplikasi media sosial tidak mendatangkan masalah yang besar. Namun begitu, apabila digunakan untuk menonton kandungan video. Ternyata, ia memberikan pengalaman yang kurang memuaskan. Seperkara lagi, penggunaan peranti ketika di kawasan indoor juga memberikan pengalaman yang baik. Namun berbeza pula apabila kami menggunakannya secara outdoor – di mana, kandungan sukar untuk dilihat.

Kami juga perasan paparan memberikan kadar tindak balas yang perlahan. Boleh dikatakan isu ini berlaku untuk hampir kesemua aktiviti. Misalnya, ketika kami sedang membuat tatalan, klik ada aplikasi atau menaip pada papan kekunci. Pada masa sama, berlaku juga masalah skrin yang mengesan sentuhan yang tidak dilakukan yang sangat ketara. Ini adalah masalah yang sama ditemui ketika kami membuat ulasan untuk pendahulunya sebelum ini. Ada sesetengah pihak yang mungkin secara peribadi tidak kisah dengan hal ini, maka ia tidaklah memberikan masalah yang besar. Jika sebaliknya, mungkin anda perlulah mempertimbangkan pilihan-pilihan lain.

Kemudian, kami juga berpendapat anda tidak boleh mengharapkan yang lebih melaluinya. Terutamanya ketika digunakan untuk sesi permua. Di mana, beberapa permainan permainan intensif seperti PUBG Mobile (PUBGM) dan Call Of Duty (COD) masih boleh dimainkan. Namun begitu, syarat untuk mendapatkan pengalaman permainan yang memadai hanya pada tetapan grafik asas sahaja. Jika tidak, kami boleh katakan prestasi permainan keseluruhannya adalah mengecewakan. Bukan itu sahaja, sesi permainan juga terasa tidak lancar dan tersangkut-sangkut. Oleh itu, kami lebih menyasarkan untuk anda bermain permainan kasual sahaja untuk lebih kepuasan.


Kamera

Samsung A03s mempunyai sistem tri-kamera di belakang dengan tetapan 13-Megapixel (f/2.2) (utama) + 2-Megapixel (f/2.4) + 2-Megapixel (f/2.4), sementara itu kamera hadapan pula sebesar 5-Megapixel (f/2.2). Buka sahaja aplikasi kamera, terdapat beberapa fungsi asas yang disediakan seperti mod potret, hyperlapse, makro dan sebagainya.

Bagaimanapun, tiada mod malam terbina yang ditemui padanya. Peranti juga mempunyai kebolehan merakam video tertinggi mencapai 1080@30fps dengan kamera utama dan swafoto. Sudah boleh dijangka, ia sudah semestinya tidak menyertakan sebarang mod penstabilan untuk rakaman.

Dari segi prestasi, ia berada di tahap sederhana. Ia menunjukkan peranti mampu mengambil gambar dengan baik, tetapi butiran tidak dijaga dengan baik. Kebolehan zum yang baik hanya sehingga 2X dan selebihnya akan memberi hasil gambar yang pecah serta kabur. Seterusnya, hasil gambar potret juga bergantung kepada pencahayaan.

Di mana, kebanyakannya berada di tahap baik dengan penghasilan semula warna yang boleh diterima. Namun begitu, butiran padanya masih tidak dijaga dengan baik dan efek bokeh juga nampak tidak kemas. Begitu juga dengan hasil gambar makro, di mana kami berpendapat ianya sekadar gimik. Jelas sekali, imej yang dihasilkan nampak kurang tajam dengan penghasilan semula warna kurang menyerlah.


Bateri

Sama seperti pendahulunya, Samsung Galaxy A03s turut dibekalkan bateri berkapasiti 5000mAh. Sokongan bateri pada peranti ni dilihat mampu bertahan dengan bacaan SOT yang baik – iaitu sekitar 9 jam dan ke atas. Ia adalah untuk penggunaan sepanjang hari – termasuklah kami menggunakannya untuk melayari web, menonton video di YouTube, melayari media sosial, menangkap gam/bar, bermain permua dan sebagainya. Bagaimanapun, keadaan ini pastinya akan berubah. Ia bergantung juga pada penggunaan pengguna. Misalnya, ia juga mampu bertahan lebih daripada satu hari suntuk untuk penggunaan peranti yang tidak kerap.


Kesimpulan

Samsung Galaxy A03 boleh dikatakan sebuah peranti kelas permulaan yang baik. Dalam kesederhanaan, ia memiliki sejumlah ciri yang masih baik. Misalnya, ia mempunyai skrin yang besar untuk pengalaman penggunaan yang baik. Kemudian, ia juga dibekalkan jangka hayat bateri yang mampu bertahan seharian. Penggunaan antara muka OneUI turut menyumbang kepada pengalaman penggunaan yang mesra dengan sebelah tangan. Namun begitu, julat harga yang ditawarkan boleh dianggap agak mahal dan tidak sepadan dengan apa yang diberikan. Sedangkan, masih terdapat beberapa pesaing terdekat yang masih mampu memberikan penawaran yang lebih pada julat harga yang sama. Pada masa sama, pengimbas cap jari pada peranti juga sering kali gagal membaca.


Pro :

  • Selesa apabila berada dalam genggaman.
  • Skrin besar untuk pengalaman penggunaan yang baik.
  • Sekadar baik untuk kegunaan asas.
  • Ketahanan bateri memuaskan.

Kontra :

  • Resolusi skrin hanya HD+.
  • Kemampuan kamera di tahap sederhana.
  • Hasil gambar pada pencahayaan rendah adalah mengecewakan.
© 2024 Amanz Media Sdn Bhd