Carian
Pengasas Mozilla Mengkritik Mozilla Kerana Menerima Sumbangan Dalam Bentuk Kriptowang
January 6, 2022 Aman

Mozilla Foundation, badan disebalik pelayar web Firefox dan beberapa produk lain, telah mula menerima sumbangan orang ramai dalam bentuk kriptowang baru-baru ini. Namun, ia menerima reaksi berbeza daripada komuniti, termasuk pengasas Mozilla berkenaan sendiri, Jamie Zawinski.

Jamie Zawinski merupakan antara pereka Netscape, dan turut mengasaskan Mozilla Project – sebelum meninggalkannya pada 1999 kerana visi berbeza dengan syarikat.

Melalui perkongsian Tweet, beliau mengkritik Mozilla kerana menerima bayaran dalam bentuk kriptowang. Beliau mengkritik keputusan Mozilla untuk bekerjasama dengan “skim Ponzi” yang memberi kesan terhadap planet. Selain pengasas Mozilla, pereka enjin Gecko juga tidak bersetuju dengan keputusan Mozilla ini.

Pelbagai pihak sedia menimbulkan pertanyaan berkenaan penggunaan tenaga oleh kriptowang, termasuk dari segi melombong kriptowang dan melakukan transaksi. Pada masa yang sama, ada yang mengatakan ia merupakan skim Ponzi dan menyerupai skim pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi berdasarkan kepada pelaburan daripada pelabur-pelabur dan peserta seterusnya.

Pada hari ini, terdapat pelbagai pihak yang menyokong dan menentangnya. Malah, terdapat beberapa negara yang turut mengharamkan. Terbaru, Kosovo mengharamkan perlombongan kripto kerana mengakibatkan krisis tenaga.

Apa pun, dalam kes Mozilla, mereka sedia menerima sumbangan dalam bentuk kriptowang sejak 2014 yang lepas. Ia tidak diketahui sama ada Mozilla menyimpan semua kriptowang yang diterima, atau menukarnya kepada bentuk wang biasa untuk kegunaan operasi.

Komen