Carian
Belgium Ingin Meluluskan RUU Yang Menghalang Penjawat Awam Dihubungi Di Luar Waktu Bekerja
January 7, 2022 Effi Saharudin

Masalah pekerja dunia moden ialah seperti tidak wujud istilah “luar waktu bekerja”. WhatsApp tempat kerja berdering walaupun di waktu malam sehingga menimbulkan kegelisahan. Majikan menghukum pekerja yang tidak menjawab mesej yang dihantar dan kemudian dituduh pula malas. Di Belgium, rang undang-undang yang membenarkan penjawat awam dari membalas mesej yang dihantar oleh penyelia di luar waktu bekerja akan dibentangkan pada bulan Februari.

Menerusi RUU ini, penyelia hanya boleh menghubungi kakitangan di luar waktu bekerja sekiranya ia benar-benar perlu sehingga tidak boleh menanti untuk dibincangkan pada keesokan harinya. Kakitangan juga tidak boleh dihukum sekiranya tidak mengikuti arahan yang diberikan oleh penyelia di luar waktu kerja. Sekiranya diluluskan, ia diharap akan mengurangkan tekanan akibat kerja dan kakitangan yang lelah kerana kerja berlebihan.

Pada waktu ini RUU akan hanya terpakai pada 65,000 penjawat awam sahaja tetapi ia mungkin akan turut dipanjangkan ke pekerja sektor swasta. Selain itu, Belgium juga akan membincangkan waktu pekerja 4 hari seminggu dan undang-undang untuk bekerja melebihi masa.

RUU mengharamkan kakitangan dihubungi majikan di luar waktu kerja sudahpun diluluskan di Portugal dan Perancis. Adakah RUU seperti ini perlu diperkenalkan di Malaysia bersama dengan bekerja empat hari sehari? Sebagai insan yang sudah agak berusia dan tubuh kini mula sakit kerana bekerja berlebihan, saya menyokongnya kerana di akhir hari kesihatan lebih penting kerana ia tidak boleh dijual beli di kemudian hari.

Sumber The Brussels Times

Komen