Cari @ Amanz

Di masa hadapan ada yang percaya tiada lagi keperluan untuk memandu kereta sendiri. Pemilik hanya perlu masuk, duduk dan kemudian menekan destinasi ke konsol kenderaan. Mereka kemudian akan dipandu oleh supir elektronik yang mempunyai kemampuan swapandu tahap lima. Fiksyen ini masih belum menjadi realiti tetapi pengeluar sudahpun mempunyai visi kenderaan yang akan menyokongnya.

Cadillac telah memperlihatkan konsep InnerSpace mereka di CES 2022. Kereta konsep ini menggunakan kuasa elektrik dan hadir dengan sistem swapandu tahap lima. Oleh sebab itu skrin pada bahagian kokpit adalah besar dan melengkung kerana kedua-dua penumpang tidak perlu risau untuk melihat keluar dari cermin hadapan. Atas alasan yang sama, stereng dan pedal kawalan juga tidak disertakan.

Pintu dan bumbung InnerSpace terbuka seperti sayap seekor kumbang bagi memudahkan proses keluar masuk. Kerusi juga berputar keluar atas sebab yang sama. Skrin paparan utama hadir dalam mod realiti terimbuh yang memaparkan visual pemandangan luar sekiranya diperlukan dan mod kesihatan untuk berehat.

InnerSpace juga lestari kerana menggunakan tayar Goodyear yang diperbuat daripada bertih padi dan kacang soya. Konsep yang diperlihatkan adalah menarik namun begitu mungkin kurang realistik atas faktor keselamatan. Dengan terdapat banyak panel skrin dan kaca yang besar, sejauh manakah ketahanan kenderaan dalam kemalangan. Kami hanya mahukan sistem swapandu sebenar yang memastikan pemanduan balik kampung tidak lagi memenatkan dan kami boleh menonton video sepanjang perjalanan sekiranya terperangkap dalam kesesakan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd