Carian
Intel Dilihat Akan Menunda Pelancaran Kad Grafik Arc Alchemist – Butiran Suku Pertama 2022 Tidak Lagi Kelihatan
January 7, 2022 Nazrin

Selain daripada pelancaran cip pemprosesan Alder Lake-H untuk komputer riba, orang ramai juga menjangkakan bahawa Intel akan memperlihatkan kad grafik Ark Alchemist mereka di acara CES 2022, tetapi nampaknya sehingga kini, apa yang kita dapat lihat ialah penawaran kad grafik tersebut pada komputer riba Acer Swift X terbaru, yang bukanlah model untuk komputer desktop yang orang ramai mahukan.

Mengeruhkan keadaan lagi, bahan promosi Intel sebelum ini memperlihatkan bahawa kad grafik tersebut sepatutnya mula dijual pada suku pertama 2022, tetapi baru-baru ini, ia dilihat bahawa Intel telah mengubahnya kepada 2022 sahaja di laman web mereka.

Satu-satunya pengumuman mengenai kad grafik Arc Alchemist yang diketahui sekarang ialah bahawa Intel telah mula menghantar sampel kad grafik tersebut kepada pembuat-pembuat OEM kad grafik seperti ASUS, MSI dan GIGABYTE untuk tujuan ujian dan pembinaan sistem penyejukan untuk kad grafik tersebut.

Setakat ini kita tidak mengetahui lagi berapa banyakkah variasi kad grafik Intel Arc Alchemist ini yang akan dilancarkan oleh Intel, tetapi ia telahpun dilaporkan bahawa sekurang-kurangnya tiga model telah diperlihatkan, dan akan hadir dengan prestasi dan tanda harga berbeza.

Sumber: VideoCardz

Komen