Intel Menjawat Individu Bertanggungjawab Untuk Peralihan Apple Ke Pembangunan Cip Sendiri

Diterbitkan pada Jan 7, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Tahun 2020 dilihat sebagai satu tamparan hebat buat Intel khususnya di dalam arena cip komputer riba, dimana salah satu daripada klien terbesar mereka, Apple dilihat memperkenalkan cip pemprosesan mereka sendiri yang dibangunkan daripada teknologi Arm yang dinamakan Apple M1 yang dilihat hadir dengan prestasi yang jauh lebih hebat daripada apa yang mampu dibangunkan oleh Intel.

Individu yang dilihat bertanggungjawab untuk keputusan Apple membangunkan cip mereka sendiri ialah Jeff Wilcox, Pengarah Arkitektur Sistem Mac (Director of Mac System Architecture) yang kini memperlihatkan komputer-komputer riba MacBook Air dan MacBook Pro menggunakan cip mereka sendiri dan meninggalkan Intel.

Terkini, berita yang mengejutkan ialah Jeff Wilcox dilihat meninggalkan Apple untuk mengambil jawatan di Intel pula sebagai Ketua Pegawai Teknologi di Design Engineering Group Intel dengan fokus terhadap pembangunan SoC untuk peranti pengguna.

Apple M1

Secara ironinya, ini bermakna bahawa Jeff Wilcox kini menjadi individu yang bertanggungjawab untuk membangunkan cip-cip pemprosesan kelas pengguna Intel, selepas dia yang menyebabkan Intel jatuh tersungkur dengan keputusannya di Apple.

Menariknya, walaupun beliau bekerja di Apple selama lapan tahun yang lalu, membangunkan sistem-sistem untuk syarikat Cupertino tersebut, ini bukanlah kali pertama beliau memegang jawatan di Intel. Sama seperti CEO baru syarikat tersebut, Jeff Wilcox juga sebelum ini pernah bekerja untuk Intel selama 12 tahun sebelum menyertai Apple.

Intel dilihat telah mula mengorak langkah semula untuk menjadi pembangun cip pemprosesan terbaik sejak Pat Gelsinger dilantik menjadi CEO dan pelancaran CPU Intel Alder Lake. Ia dilihat bahawa penjawatan Jeff Wilcox akan mungkin akan mempercepatkan lagi proses ini.

Sumber: Tom’s Hardware

komen


© Amanz / 2022 Kami