Cari @ Amanz

Kuasa pemprosesan melombong kripto atau lebih dikenali sebagai hashrate dunia terjejas selepas kekacauan berlaku di Kazakhstan. Semalam hashrate global menjunam 14% menurut laporan Reuters. Kekacauan meletus di Kazakhstan sejak 2 Januari lalu kerana rakyat menentang peningkatan kos kuasa di negara bekas Kesatuan Soviet ini. Bagi membendung penyebaran maklumat, kerajaan Kazakhstan memotong akses Internet ke seluruh negara.

Kriptowang

Ini menyebabkan kesemua mesin melombong kripto terjejas teruk. Kazakhstan ialah negara penyumbang hashrate kedua terbesar dunia dengan pegangan sekitar 18%. Negara ini menjadi tumpuan pelombong yang berhijrah dari China selepas aktiviti pelombongan diharamkan oleh Beijing pada Jun tahun lalu. Kos tenaga yang murah di Kazakhstan menyebabkan ia menjadi destinasi pilihan.

Ironi di sini ialah kemasukan pelombong secara besar-besaran ke Kazakhstan adalah menyebabkan harga bekalan elektrik meningkat dengan mendadak. Rakyat yang tidak mampu menampung kos yang meningkat melakukan demonstrasi di Almaty, ibu negara Kazakhstan. Setakat ini puluhan kematian telahpun dilaporkan dengan Rusia telahpun menghantar anggota pengaman untuk membantu tentera Kazakhstan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd