Cari @ Amanz

OnePlus bakal hadir dengan peranti berspesifikasi mercu baharu tidak lama lagi. Melaluinya, mereka bakal memperkenalkan OnePlus 10 Pro dan rekaan serta spesifikasi utamanya telah tertiris dalam beberapa laporan terdahulu. Salah satu daripadanya, peranti ini dikhabarkan hadir dengan kamera utama 48+50+8 dengan dwi-OIS.

Dalam perkembangan terkini, fungsi-fungsi kamera pula mula didedahkan. Dapat dilihat, ianya dilengkapi ciri dan fungsi kamera yang pelbagai bagi membolehkan pengguna berkarya lebih kreatif. Antara fungsi yang menyokongnya adalah kebolehan merakam gambar dengan darjah pandang mencapai 150 darjah menggunakan kamera sekunder 50MP.

Melaluinya, ia turut menyertakan mod Fish Eye secara terbina bagi menjadikan penggambaran lebih menarik. Kalau perasan, ini adalah fungsi sepertimana yang terdapat pada Realme GT 2 dan iQOO 9 Pro sebelum ini. Bagaimanapun, ia juga menyokong tangkapan gambar dengan sudut pandang 110 darjah untuk tangkapan gambar ultra-lebar yang biasa. Turut melengkapinya adalah kebolehan AI yang lebih baik.

Seterusnya, ia juga mempunyai fungsi fotografi dengan sokongan warna 10-bit secara menyeluruh. Di mana, ia membolehkan pewarnaan pada imej menjadi lebih tepat dan berkualiti. Ini pula adalah fungsi seperti mana yang terdapat pada Oppo Find X3 Pro. Kemudian, OnePlus 10 Pro juga akan dilengkapi Mod Pro Hasselbald generasi kedua. Dengan ini, ia membolehkan rakaman dalam bentuk RAW-12bit bersama dengan JPEG dapat diambil dalam masa yang sama.

Tidak habis setakat itu, Movie Mode turut akan disertakan pada peranti ini. Katanya, ini adalah kali pertama mereka menyertakan mod berkenaan pada peranti. Melaluinya, ia membolehkan pengguna menyesuaikan lebih banyak fungsi untuk rakaman video lebih baik. Pada masa sama, ia juga membolehkan pengguna untuk merakam vlog melaluinya.

OnePlus 10 Pro akan dilancarkan di China pada 11 Januari ini. Ia juga akan ditawarkan untuk beberapa pasaran luar tidak lama selepas pelancaran rasmi tersebut. Seperti biasa, sama-sama kita nantikan pelancaran rasmi kelak untuk ketahui penawaran lebih lanjut mengenai peranti.

Sumber : xda-developers

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd