Carian
Samsung Home Hub Diumumkan – Paparan Pintar Bixby Untuk Mengawal Peranti SmartThings
January 7, 2022 Fahim Zahar

Google sudah lama beri fokus kepada peranti berhubung, sehinggakan tahun ini kebanyakannya akan menyokong Matter dan boleh disambungkan/tambat dengan Google Fast Pair. Paparan pintar ke, pembesar suara pintar ke, semuanya dengan Google Assistant sudah boleh dikatakan stabil. Nest Hub juga ada menerima kemaskini ke sistem operasi Fuchsia OS.

Samsung yang sudah lama mempunyai hubungan rapat dengan Google ini di acara CES 2022 telah mengumumkan Samsung Home Hub. Jawapan Samsung kepada Google untuk Nest Hub, tapi saiz lebih besar dan posisi skrin adalah menegak.

Seperti namanya, ia adalah hab kepada rumah pintar pengguna. Pusat kawalan untuk semua barangan SmartThings daripada lampu, peti sejuk, pendingin hawa, robot vakum, telefon pintar, pembesar suara, kipas, televisyen dan pelbagai lagi. Ia juga dikuasakan dengan SmartThings Energy untuk pemantauan penggunaan tenaga elektrik.

Pengguna juga boleh menggunakan Bixby untuk memberi kawalan kepada perkakasan pintar ini, sama ada seruan terus atau berjadual. Seperti Google, Samsung juga menyasarkan kepada pengguna yang aktif memasak di rumah dengan skrin yang sesuai untuk memaparkan resipi.

Tidak pasti berapa ramai yang akan menggunakan produk ini dan berapa ramai yang akan setia kepada Bixby. Samsung tidak mengumumkan lagi tarikh jualan dan harganya, jika ini produk yang anda cari – sama-sama nantikan pengumuman lanjut dengan terus ikuti kami di Amanz.

Komen