Baru-baru ini, terdapat laporan yang menyatakan Lenovo kini dalam persediaan untuk peranti memfokuskan permainan yang baharu. Dikenali sebagai Lenovo Legion Y90, rekaan peranti berkenaan telah mula diperlihatkan menerusi perkongsian video promosi rasmi yang dimuat-naik di Weibo. Ia menunjukkan peranti hadir dengan kemasan panel belakang yang unik.
Dapat dilihat, kamera utama peranti diletakkan pada bahagian tengah sepertimana yang terdapat pada Lenovo Legion versi pertama dan kedua. Melaluinya, ia menyokong persediaan dwi-kamera. Turut kelihatan, terdapatnya kipas penyejuk yang terbuka lengkap dengan lubang untuk haba bersama-sama dengannya. Tidak ketinggalan, sokongan lampu RGB berbentuk Y bersama penjenamaan Legion dan LED Flash turut disertakan.
Beralih ke panel hadapan, ia mempunyai sokongan kamera swafoto tunggal yang diletakkan pada bezel di bahagian atas. Bagaimanapun, tiada sebarang bezel mahupun lubang yang boleh ditemui padanya. Turut boleh dilihat, skrin adalah sejenis rata dengan sisi yang membulat. Buat masa ini, belum diketahui bilakah ia akan dilancarkan. Tetapi dengan ketirisan ini, kita mungkin akan dapat melihat pengenalannya tidak lama lagi.