Cari @ Amanz

Sejak dimasukkan ke dalam senarai entiti, Huawei mula memasuki arena komputer desktop, skrin pintar dan juga automotif untuk kelangsungan syarikat. Kini mereka melancarkan pula alat kawalan permainan untuk siri televisyen pintar Vision S mereka di China.

Huawei Smart Selection Beitong Smart Gamepad ialah alat kawalan permainan yang mempunyai rekabentuk yang sama dengan alat kawalan Xbox. Ia menggunakan tambatan secara bluetooth dan WiFi 2.4 GHz bagi memberikan pengalaman permainan sela masa serendah 8ms. Konfigurasi butang ialah dua tombol analog, satu tombol D-Pad, empat butang muka, empat butang bahu dan empat lagi butang kawalan ciri.

Dengan adanya alat kawalan jauh ini, pemilik televisyen dan skrin pintar Huawei boleh menikmati permainan video pada peranti dengan lebih selesa. Selain itu ia juga serasi digunakan pada kesemua peranti Huawei kerana menyokong protokol HarmonyOS Connect.

Alat kawalan ini dihasilkan dengan kerjasama syarikat Beitong yang sudah lama menghasilkan aksesori untuk konsol dan telefon pintar di China. Harga jualan Huawei Smart Selection Beitong Smart Gamepad ialah RMB229 (~RM150) sebuah.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd