Ini Mungkin Rekaan Lubang Skrin iPhone 14 Bagi Menggantikan Takuk

Diterbitkan pada Jan 10, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Takuk yang besar diperkenalkan oleh Apple pada iPhone X empat tahun yang lalu. Pada awalnya ia menjadi bahan jenaka tetapi kemudiannya menjadi ikutan pengeluar Android. Takuk diperlukan untuk menyokong sistem imbasan wajah Face ID yang agak rumit. Sudah lama kedengaran pada tahun ini, iPhone 14 akan menggantikan takuk dengan lubang kamera cuma rekaannya masih lagi misteri.

Tetapi kini rekaan panel yang didakwa adalah untuk iPhone 14 telah tertiris. Dua sensor termasuk satu kamera dapat dilihat dikumpulkan di bahagian tengah. Pada bahagian kanannya pula pemancar titik infra merah yang memetakan wajah pengguna dapat dilihat. Adalah dipercayai pemancar ini diletakkan di bawah skrin dan tidak dapat dilihat oleh mata kasa.

Hasilnya takuk skrin iPhone digantikan dengan lubang kamera bujur yang membuatkan peranti kelihatan seperti wajah cyclops bermata satu dari legenda Yunani. Tidak dapat disahkan sama ada ini adalah benar panel yang akan digunakan oleh Apple. Ada yang merasakan ia terlalu buruk tetapi kita sudah melihat takuk pada MacBook Pro baharu dan iPhone. Apple tidak peduli sekiranya rekaan ‘buruk’ tetapi berfungsi. Kebenaran hanya akan diketahui apabila iPhone 14 dilancarkan September kelak.

Sumber PhoneArena

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2022 Kami