Redmi kini dalam persediaan untuk pengenalan model baharu di bawah siri K yang dijangka tiba sekitar bulan hadapan. Sejumlah informasi pada peranti telah tertiris dalam laporan sebelum ini – misalnya peranti dikhabarkan hadir dalam beberapa variasi. Di samping itu, peranti juga akan mempunyai sistem dwi-penyejukan untuk penggunaan lebih baik.
Terbaharu, beberapa imej pengolokan yang didakwa memperlihatkan rekaan untuk Redmi K50 Pro telah tular di arena web. Sepertimana yang diperlihatkan, peranti akan mempunyai panel hadapan berlubang di tengah bersama saiz bezel yang seimbang pada bahagian atas dan sisi peranti. Seterusnya, skrin adalah sejenis rata tanpa sokongan pengimbas cap jari terbina di paparan. Ia berikutan, terdapat sumber yang menyatakan ia kelak menggunakan pengimbas cap jari di sisi.
Seterusnya, panel belakang jelas menunjukkan penjenamaan Redmi 5G pada bahagian bawah. Dengan ini, peranti ini kelak akan dilengkapi rangkaian 5G secara terbina. Pada masa sama, sensor utama 64MP turut menjadi pilihan Redmi. Ia kemudiannya diikuti dengan lensa ultra-lebar sebesar 13MP dan makro yang tidak diketahui konfigurasinya .
Buat masa ini, masih belum ada pengumuman rasmi untuk tarikh pelancaran peranti. Sama-sama kita nantikan.
Sumber : SparrowNews