Sekali lagi saya katakan yang tahun 2022 adalah tahun di mana telefon pintar dengan skrin boleh-lipat akan dijual pada harga peranti mercu biasa dan akan menjadi lebih berleluasa. Tetapi siapa yang akan mula jual peranti sebegini pada harga peranti mercu biasa? Setakat ini semua mahal cecah RM5000 dan ke atas, kecuali Galaxy Z Flip3.
Terkini, jenama yang baru sahaja ingin bangkit secara tersendiri dengan berani tanpa tunggu terus cuba kejar pesaing dengan melancarkan peranti skrin boleh-lipat pertama. Jenama ini adalah Honor dan perantinya adalah Honor Magic V. Kami di Amanz berpeluang mencuba peranti ini untuk sekitar satu jam lebih dan dalam artikel ini adalah apa kami rasakan mengenainya dan kebolehannya bersaing dalam pasaran sekarang.
Spesifikasi
Honor Magic V | |
---|---|
Skrin | Skrin dalam: 7.9-inci AMOLED, 2560 x 1080 90Hz, HDR10+, Skrin luar: 6.45-Inci AMOLED, 2272 x 1984 120Hz, HDR10+, Gorilla Glass |
Pemproses | Snapdragon 8 Gen 1 (4nm) |
Cip | 1 x 3.00 GHz Cortex-X2 3 x 2.50 GHz Cortex-A710 4 x 1.80 GHz Cortex-A510 |
Cip Grafik | Adreno 730 |
RAM | 12 GB |
Storan Dalaman | 256/512 GB |
Kamera Utama | 50MP f/1.9 – Sensor utama 50MP – Sensor sudut ultra lebar 50MP f/2.0 – Kamera spektrum tinggi Rakaman video IMAX |
Kamera Swafoto | Dalam: 42MP Luar: 42MP |
Bateri | 4750 mAh Pengecasan berwayar 66W |
SIM/Telefoni | 5G, Dwi SIM Nano |
NFC | Ya |
Infra Merah | Tiada |
Kalis Air | Tiada |
Sistem Imbasan | Cap jari di sisi |
Harga Jualan | Bermula RM6591* |
Skrin
Skrin peranti di luar adalah 6.45-inci AMOLED dengan kadar segar semula 120Hz dan sokongan HDR10+. Ia juga menggunakan rekaan skrin berlubang dan melengkung di sisi menjadikan cengkaman peranti ketika menggunakan keadaan tutup lebih selesa. Skrin luar juga kurang responsif atas perisian masih beta untuk peranti versi ujian dan bukan versi akhir. Jadi kadar segar semula tidak begitu konsisten.
Skrin dalam pula adalah 7.9-inci dengan panel AMOLED dan perlindungan kaca nipis. Turut menyokong kadar segar semula 90Hz. Kedua-dua skrin juga sekadar menyokong resolusi FHD+ sahaja yang cukup cerah dan terang dan dapat rasakan ia adalah antara skrin yang baik. Ia mampu memberikan persiangan kepada skrin yang digunakan oleh Samsung dan Oppo pada peranti skrin boleh lipat mereka. Cuma Samsung mempunyai kelebihan ketara kerana kedua-dua skrin lipat dan sekunder menyokong kadar segar semula 120Hz.

Skrin juga tiada kesan lipatan yang ketara seperti Galaxy Z Fold3,malah ada pula kesan bonggol seperti Oppo Find N. Cuma pada Oppo ia rasa lebih rata dan kelihatan lebih tersembunyi. Pada Honor ia seakan cuba disorok, tetapi masih mendedahkan lokasi mekanisme lipatan. Apabila ditutup tiada ruang kosong antara skrin seperti Z Fold3. Ini dicapai dengan melipat panel OLED seakan bentuk titisan air. Honor menggunakan teknik lipatan yang sama seperti Oppo dan Huawei kali ini.
Rekaan

Nipis dan simetri adalah visi peranti ini yang membuatkan mata pengguna sedap memandang rekaan Honor Magic V. Walaupun bentuk mirip Samsung Galaxy Z Fold3, ia masih mempunyai beberapa elemen yang membolehkan ia lebih mudah dibezakan.
Pada sisi kanan terdapat butang kuasa yang juga adalah merangkap sebuah pengimbas cap jari fizikal yang di atasnya pula diletakkan butang laras suara. Tiada apa di sisi kiri sementara di bawah terdapat port pengecasan USB-C, kekisi pembesar suara, dan lubang mikrofon. Kekisi satu lagi adalah di bahagian atas melengkapkan konfigurasi audio stereo peranti.
Di belakang untuk unit ujian di tangan saya ini adalah berwarna Burnt Orange dengan kemasan kulit vegan mirip Huawei Mate 30 Pro. Kulit vegan ialah nama yang digunakan oleh pengeluar sekarang sedangkan ia hanyalah kulit buatan dari PVC sebenarnya. Pada modul kamera, Honor menggunakan bentuk empat segi biasa sahaja, tetapi sensor disusun dengan bentuk menegak yang agak menarik.

Peranti ini tidak dinafikan bersaiz besar dan terasa lebar. Skrin luaran misalnya menggunakan nisbah 21:9 dan bukan 25:9 pada Z Fold3. Dari segi kesenangan ia lebih praktikal berbanding Z Fold3 tetapi di belakang Find N yang pada hemat saya adalah peranti boleh-lipat dengan rekaan tubuh yang paling munasabah pada waktu ini.

Dari segi menonton kandungan video memang memuaskan, tetapi untuk mengendalikan tugasan harian ia saya rasakan sedikit kurang mesra pengguna Apabila dalam kedudukan tertutup ia terlalu tebal dan memanjang. Apabila dibuka terasa terlalu besar pula kerana skrin dalaman 42: 8. Honor cukup berbangga peranti mereka adalah antara yang paling nipis dan apabila tutup ia rapat tanpa rongga antara skrin seperti Z Fold3. Honor juga menjamin peranti ini boleh bertahan sehingga lima tahun dengan 200,000 lipatan. Rekaan yang digunakan juga menjadikan peranti lebih ringan daripada Samsung.
Apa-apa pun peranti ini memang nampak gah di luar, cuma ada beberapa isu mengenai tahap kualiti yang membuatkannya terasa kurang premium. Ini kerana engsel yang digunakan rasa tidak begitu tegap. Ia tidak boleh dihentikan separuh lipatan pada kedudukan 90 darjah dan engsel seakan mengeluarkan bunyi yang mengerikan apabila bergerak. Walaupun saya sudah menggunakan Galaxy Z Flip3, Galaxy Z Fold3, Find N, dan P50 Pocket bunyi aneh yang dikeluarkan engsel mekanisme lipatan masih mampu menimbulkan kerisauan. Kesemua peranti yang saya sebutkan tadi mempunyai engsel dengan bunyi kurang menyenangkan.

Antaramuka Dan Pengalaman Penggunaan
Peranti ini masih menggunakan Magic UI, cuma sekali lagi saya ingatkan versi yang kami gunakan perisian adalah dalam bentuk beta dan peranti juga adalah unit ujian bukan unit yang akan dijual/versi akhir. Versi yang digunakan pada unit ini aneh, tetapi versi akhir nanti adalah Magic UI 6.2 dan berasaskan Android 12. Disebabkan Magic UI masih lagi berasaskan EMUI, kebanyakan dalam peranti ini akan mirip sahaja dengan EMUI 12.
Ada sokongan multi-tugasan sama Huawei, iaitu tatap daripada sisi dan pilih daripada bar sisi aplikasi tersenarai untuk satu menjalankan dua aplikasi sebelah menyebelah dan satu lagi dalam tetingkap terapung. Cuma yang saya sedari tadi, ia tidak menyokong mod produktiviti atau penggunaan banyak aplikasi sama seperti Samsung. Oppo yang kurang tu pun rasa puas. Honor terlampau kosong seakan telefon biasa dan tidak ada fungsi menarik pada perisian. Hampa juga aplikasi kamera juga tidak menyokong skrin luar jika ingin menggunakan kamera utama sebagai kamera swafoto.

Prestasi juga susah untuk dikongsi kepada anda semua, tetapi apa yang saya perasan adalah buka dan tutup skrin, cara aplikasi terus kekal boleh digunakan daripada skrin dalam ke luar amat pantas seakan sekelip mata. Ada juga Live Wallpaper yang bergerak mengikut proses buka tutup lipatan.
Apa pun saya masih tidak puas hati dengan sistem operasi kerana ia terasa sedikit kosong untuk peranti dengan skrin boleh-lipat. Ia rasa seperti peranti mercu biasa yang boleh dilipat. Tidak banyak fungsi dan ciri menarik yang menjadikan peranti ini lengkap.

Dari sudut audio pula bunyi yang dihasilkan adalah cukup enak tetapi tidak begitu kuat walaupun aras suara pada tetapan paling maksima. Jadi setakat penggunaan sekejap tadi, dapat dirasakan audionya tidak akan memberi pengalaman mendengar yang mengasyikkan. Dalam dunia peranti skrin boleh lipat, Z Fold3 masih di hadapan dalam bahagian audio kerana hadir dengan sokongan Dolby Atmos pada pembesar suara bukan sekadar aksesori audio.
Perisian kamera juga bukan yang paling kemas pernah kami gunakan. Kerana dalam skrin viewfinder ia memaparkan warna yang sangat pudar dan tidak menyenangkan. Hasil HDR dan warna yang lebih cantik hanya dapat dilihat selepas pasca-proses. Tetapi hasil yang saya uji, apa yang saya boleh cakap mengenai kualiti keseluruhan dalam bilik nampak macam baik dan memuaskan sahaja. Penggambaran landskap juga nampak mempunyai potensi. Sekali lagi saya ingin tegaskan Magic V yang diuji masih menggunakan perisian awal. Maka kesemua rungutan yang kami tulis di sini mungkin tidak akan menghantui pengguna pada peranti akhir yang dijual kelak.

Kamera swafoto sahaja yang kurang memuaskan dari segi warna. Tetapi ini juga bukan versi akhir dan aplikasi ini akan menerima kemas kini untuk sokongan penggunaan lebih stabil. Peranti ini juga boleh merakam video pada mod IMAX Enhanced yang sebelum ini hanya diberikan pada Magic3 dan Magic3 Pro yang dilancarkan pada Ogos tahun lalu. Menerusi mod ini, video yang kelihatan lebih sinematik boleh dirakam oleh pemilik.
Kesimpulan
Honor baru sahaja bangkit selepas masa depan mereka seperti berada di hujung tanduk. Tetapi kini mereka ingin berada di tempat yang sama seperti Huawei, Samsung, Oppo dan Xiaomi mengeluarkan peranti skrin-boleh lipat yang adalah paling premium di pasaran. Apa yang ditawarkan Honor Magic V ini memang menarik dan mempunyai potensi memberikan cabaran kepada peranti lain lebih-lebih lagi jika hadir dengan GMS untuk pasaran global kelak. Cuma penawaran mereka terasa kurang lengkap dan perlu digilap lagi bagi memastikan saingan dapat diberikan kepada Samsung yang adalah raja skrin boleh-lipat pada waktu ini. Perkakasan Magic V adalah amat mantap tetapi tanpa perisian yang baik ia akan mencemarkan pengalaman penggunaan.

Prestasi dan perisian masih tidak boleh banyak didedahkan kerana masa ujian kami petang tadi adalah agak terhad. Tetapi, audio, skrin dan penggunaan lain adalah memuaskan. Ia tidak rasa seperti peranti gimik seperti Flexpai .Engsel yang kurang memuaskan ini mungkin akan membuatkan pengguna rasa curiga mengenai ketahanan masa panjang. Kekurangan fungsi dan ciri khusus untuk peranti skrin boleh-lipat membuatkan ia terasa seperti tablet biasa sahaja. Ini kami harap dapat diperhalusi dan dibaiki pada perisian akhir kelak.

Atas sebabnya adalah, Honor terlampau fokus kepada Multi-Screen Collaboration untuk menyiarkan skrin peranti ke komputer riba dan menggunakan lebih banyak fungsi yang menjadikan tugasan produktiviti lebih efisien. Pada harga jualan bermula dari RMB 9999 (RM6591) ia sedikit sahaja lebih mampu milik berbanding Z Fold3. Berbaloi atau tidak anda perlu menantikan ulasan penuh saya kelak jika ia dipasarkan di Malaysia dalam masa terdekat.
Pro
- Rekaan nipis dan selesa di tangan.
- Spesifikasi paling berkuasa untuk peranti skrin boleh-lipat.
- Skrin yang cantik dengan kesan lipatan yang tidak begitu ketara.
- Kamera yang ada potensi tinggi.
- Skrin luar yang lebih praktikal.
Kontra
- Engsel rasa tidak begitu kukuh dan tidak boleh lipat pada sudut 90 darjah.
- Perisian tidak lengkap dengan kebolehan produktiviti tidak setanding pesaing.
- Saiz lebih besar yang sukar dikendalikan dengan mudah tanpa bantuan perisian baik.
- Tiada kemampuan kalis air secara rasmi.