Honor Watch GS 3 Dilancarkan Dengan Bateri Sehingga 14 Hari

Diterbitkan pada Jan 11, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Serentak dengan pelancaran Honor Magic V, jam tangan pintar Honor Watch GS 3 turut dilancarkan. Ia dilengkapi skrin 1.43″ AMOLED dengan resolusi 465×465 pixel berbentuk bulat, cip Apollo4, memori sebesar 32MB dan storan sebesar 4GB. Sistem operasi yang digunakan pula ialah LiteOS.

Ia hadir dengan tubuh yang dinperbuat daripada bahan aluminium dengan tali diperbuat daripada kulit napa atau getah pada versi sukan. Versi biasa kelihatan lebih formal dengan rekaan yang lebih serasi untuk penggunaan di pejabat.

Terdapat dua tombol kawalan diletakkan pada bahagian sisi. Sementara itu sensor nadi diletakkan pada bahagian bawah. Ciri standard mengesan lokasi menggunakan GPS, tahap oksigen dalam darah, tekanan udara, sensor geomagnet dan cahaya turut disertakan. Keseluruhan tubuh melepasi piawaian kalis air sehingga 5 ATM.

Pengimbas nadi boleh melakukan bacaan nadi secara berterusan. Jam tangan juga cukup bijak untuk mengesan sehingga 100 aktiviti senaman dan melakukan penjejakan pola tidur pemakai. Panggilan telefon disokong menerusi tambatan ke telefon pintar. Aplikasi juga boleh dipasang bersama dengan sistem pembayaran NFC. Bateri 451 mAh boleh memberikan tempoh penggunaan sehingga 14 hari atau 30 jam jika GPS diaktifkan sepanjang masa. Pengecasan semula ialah menggunakan pengecas bermagnet.

Sistem operasi telefon pintar yang disokong pula ialah Android dan iOS. Di China Honor Watch GS 3 dijual pada harga RMB 1499 (~RM987) untuk versi dengan tali kulit napa dan RMB1299 (~RM856) untuk versi sukan dengan tali getah.

komen


© Amanz / 2022 Kami