Jam Tangan Louis Vuitton Tambour Horizon Light Up Dilancarkan Dengan Harga Bermula Daripada RM 12,000

Diterbitkan pada Jan 11, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Jenama mewah Louis Vuitton telah mengeluarkan jam tangan pintar mereka sendiri sejak 2018. Ini adalah bagi memberikan persaingan kepada Apple Wacth sebagai jam tangan pintar pilihan golongan elit bergaya serta berpoket tebal. Mereka baru sahaja melancarkan Louis Vuitton Tambour Horizon Light Up yang merupakan model paling terkini dengan rekanan lebih mewah dan mudah dikustomasi oleh pemakai.

Louis Vuitton Tambour Horizon Light Up mempunyai skrin bulat 1.2″ AMOLED yang melengkung sepenuhnya ke bahagian sisi. Sisi melengkung ini memaparkan 24 ikon monogram yang setiap satunya boleh diubah mengikut keperluan pemakai dan berkelip apabila notifikasi diterima. Jam tangan dilengkapi cip Snapdragon Wear 4100 yang merupakan antara cip jam tangan pintar terkini di pasaran, memori 1GB RAM, storan 8GB dan bateri sepanjang hari.

Menarik sekali LV mengatakan Horizon Light Up menggunakan sistem operasi buatan sendiri. Ia besar kemungkinan masih berasaskan Wear OS tetapi dengan pelancar tersendiri. Terdapat ciri standard memaparkan notifikasi, membaca nadi, mengira tapak, cuaca, kualiti udara dan kemampuan kalis air sehingga 30 meter. Terdapat juga ciri mod Blossom, Explorer, Submarine dan Saver yang boleh dipilih pemakai mengikut situasi.

Louis Vuitton Horizon Light Up ditawarkan dalam warna Polished Steel, the Matte Black dan Matte Brown dengan harga jualan bermula dari $3000 (~RM12,580) seutas.

komen


© Amanz / 2022 Kami