Carian
Intel Menyelesaikan Isu DRM Denuvo Pada CPU Alder Lake – Kemaskini Akan Tiba Tidak Lama Lagi
January 11, 2022 Nazrin

Pada penghujung tahun lepas, Intel telah melancarkan cip pemprosesan generasi ke-12 mereka, Alder Lake yang hadir dengan pelbagai ciri baru dan juga prestasi yang jauh lebih hebat berbanding generasi sebelumnya.

Walaupun begitu, untuk segelintir gamer tegar yang telah menaiktarafkan komputer mereka dengan komponen ini, mereka memerhatikan bahawa sejumlah permainan komputer yang menggunakan sistem DRM (Digital Rights Management) Denuvo menghadapi masalah untuk digerakkan selepas penaiktarafan komponen.

Masalah ini dilihat kerana CPU Alder Lake kini menggunakan teras Performance dan Efficiency, dan Denuvo melihat teras-teras ini sebagai sistem yang berbeza. Secara lazimnya, teras Performance akan digunakan untuk permainan-permainan komputer, tetapi oleh kerana teras Efficiency ini juga akan digunakan untuk tugasan yang tidak begitu berat, Denuvo menganggap bahawa ia adalah sistem berlainan, dan akan mengaktifkan ciri anti cetak rompak yang kemudiannya akan mematikan permainan tersebut.

Intel mengambil maklum mengenai isu tersebut, dan kini, telah mengesahkan bahawa isu dengan Denuvo tersebut telahpun diperbaiki, dan kemaskini dari sistem operasi dan juga permainan-permainan yang terkesan akibat isu ini akan mula dikeluarkan dalam masa terhad.

Sumber: Intel

Komen