Cari @ Amanz

Untuk sekian lamanya, sejak konsep komputer diperkenalkan, mereka yang bekerja dalam industri teknologi komponen telah memperlihatkan cara untuk mengatasi kelemahan memori komputer sebagai storan yang sangat pantas, tetapi sementara sahaja.

Para penyelidik dan saintis di Physics and Engineering Department, Lancaster University telah berjaya membangunkan sebuah komponen baru yang dinamakan UltraRAM, iaitu gabungan komponen storan dan juga memori capaian rawak (RAM) yang menggabungkan ciri memori tidak meruap pada storan (non-volatile memory) dan juga capaian kelajuan memori yang sangat pantas.

Kunci kepada pembangunan memori ini ialah penggunaan sebatian semikonduktor yang membolehkan komponen-komponen yang diperlukan dibangunkan pada silikon, yang kemudiannya boleh dimuatkan pada papan litar. Kelebihan utama yang dapat dilihat pada komponen UltraRAM setakat ini ialah ia hadir dengan jangkahayat selama 1000 tahun, dan kitaran pembacaan dan penghantaran data 100 sehingga 1000 kali lebih baik berbanding dengan storan sedia ada.

Lebih menarik daripada itu, komponen UltraRAM ini juga dilihat boleh mengurangkan jumlah komponen yang diperlukan dalam sebuah peranti elektronik kerana RAM dan storan dimuatkan dalam satu cip sahaja. Ini juga membantu dari segi jumlah kuasa yang digunakan dan dapat memanjangkan hayat bateri sesebuah peranti, tidak kira komputer riba, peranti pintar ataupun peranti boleh-pakai.

Akan tetapi komponen UltraRAM ini masih lagi dalam fasa penyelidikan. Terdapat banyak lagi aspek mengenai komponen ini yang masih perlu diambil-kira, seperti kos pembuatan peranti, dan samada ia boleh mencapai kelajuan pembacaan dan penulisan data komponen-komponen hari ini.

Setakat ini ia tidak diketahui lagi bilakah komponen UltraRAM ini akan mencapai tahap komersil.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd