Wear OS Akan Dikemaskini Dengan Ciri Memutarkan Skrin Apabila Jam Dipakai Terbalik

Diterbitkan pada Jan 12, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Pada tablet dan telefon pintar terdapat ciri skrin yang berputar secara automatik mengikut orientasi peranti dipegang. Dengan ini skrin yang berputar dan bukan kepala pengguna. Tetapi pada jam tangan pintar ciri ini tidak pernah diberikan dan ia menyusahkan sekiranya jam secara tidak sengaja dipakai terbalik.

Menurut 9to5Google, isu skrin statik tidak boleh berputar akan diselesaikan pada versi Wear OS yang seterusnya. Ciri memutarkan skrin mengikut orientasi jam dipakai telah dimohon oleh pengguna sejak 2108 tetapi hanya kini disahkan akan diaktifkan kelak. Isu selama ini ialah apabila jam dipakai terbalik, sistem operasi perlu mengesan lokasi butang kawalan yang juga berpindah kedudukannya. Ini boleh mendatangkan isu kepada aplikasi yang digunakan sekarang.

Saya antara insan yang inginkan ciri ini diberikan pada Wear OS kerana lebih selesa jika butang kawalan di sebelah kiri apabila jam dipakai pada lengan kiri misalnya. Pada Apple Watch ciri memakai jam secara terbalik ini telah lama disokong. Diharap penantian untuk ciri ini diaktifkan tidak akan mengambil masa yang lama.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2022 Kami