Huawei P50 Pro Dan P50 Pocket Dilancarkan Di Malaysia – Harga Bermula RM4199

Diterbitkan pada Jan 12, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Huawei P50 Pro dan P50 Pocket telah dilancarkan di Malaysia hari ini. Ini menjadikan Malaysia antara negara terawal yang menerima kedua-dua peranti yang sebelum ini hanya ditawarkan untuk pasaran China sahaja. Di Malaysia Huawei P50 Pro dijual pada harga RM4199 untuk versi 8/256GB dengan pilihan warna putih. Pratempahan dibuka hari ini dengan jualan terbuka bermula 22 Januari 2022. Pelanggan yang melakukan pratempahan akan menerima Huawei Watch GT 2 Pro, gantian skrin dan langganan perkhidmatan Huawei percuma.

Sementara itu Huawei P50 Pocket pula dijual pada harga RM5999 untuk versi biasa 8/256GB dan Huawei P50 Pocket Premium Edition dengan 12/512GB dijual pada harga RM7299 dengan pratempahan dibuka 22 Januari sehingga 13 Februari 2022. Sementara itu pelanggan yang melakukan pratempahan untuk P50 Pocket pula akan menerima Huawei Watch 3, jaminan tambahan selama setahun dan langganan perkhidmatan Huawei secara percuma.

Huawei P50 Pro dilengkapi skrin 6.6″ AMOLED dengan resolusi QHD+ dan kadar segar semula 120Hz. Skrin masih lagi melengkung pada bahagian sisi dengan sebuah lubang kamera pada bahagian tengah. Peranti dijana cip Snapdragon 888 4G di Malaysia.

Ini dipadankan dengan memori sehingga 12GB RAM, storan sehingga 512GB dan bateri sebesar 4360 mAh. Bateri boleh dicas semula secara berwayar dengan pengecas 66W dan nirwayar pula pada kuasa 50W. Aneh sekali sokongan pengecasan berbalik tiada kali ini.

Kamera utama sebesar 50MP f/1.8 dengan OIS, 64MP telefoto f/3.5 dengan OIS, 13MP ultra sudut lebar f/2.2 dan 40MP sensor hitam putih f/1.6. Sistem pemfokusan pula adalah menggunakan laser. Pada bahagian hadapan pula kamera 13MP digunakan. Sistem zum yang disertakan memberikan zum optikal hingga 3.5X dan zum digital sehingga 100X.

Huawei P50 Poket pula dilengkapi skrin 6.9″ OLED FHD 120Hz boleh-lipat, skrin luaran 1″ OLED 60Hz berbentuk bulat, dijana cip Snapdragon 888 4G memori sehingga 12GB, storan sehingga 512GB dan bateri sebesar 4000 mAh yang menyokong pengecasan 40W.

Kamera utama menggunakan sensor 40MP sudut lebar, 13MP ultra sudut lebar dan 32MP Super Sensor sementara kamera swafoto pula sebesar 10.7 MP. Terdapat pengimbas cap jari terbina pada butang kuasa di bahagian sisi. Ia menggunakan sistem operasi HarmonyOS 2.0 yang membolehkan peranti menjadi kunci kereta digital dan kemampuan mengesan kesan cahaya UV pada wajah.

komen


© Amanz / 2022 Kami