Infinix dilaporkan bakal mengemaskini rangkaian peranti di bawah Hot 11 dengan model baharu lagi. Melaluinya, mereka dijangka hadir dengan Infinix Hot 11 (2022) dan pengenalannya adalah sekitar bulan Februari kelak. Di samping itu, beberapa spesifikasi pada peranti turut telah didedahkan menerusi perkongsian laporan terkini Mysmartprice.
Infinix Hot 11 (2022) dikhabarkan hadir dengan cip Unisoc T700 dengan padanan memori 4GB RAM dan storan dalaman sehingga 128GB. Ia juga mungkin hadir dengan paparan hadapan sejenis LCD sebesar 6.8-inci HD+ dengan kadar segar semula 90Hz. Selain daripada itu, panel hadapan peranti juga menyokong skrin sejenis bertakuk kecil.
Seterusnya, sistem tri-kamera turut digunakan dengan tetapan 48MP + 2MP + 2MP dan kamera swafoto pula sebesar 8MP. Tidak ketinggalan, peranti juga akan mempunyai bateri 5000mAh yang menyokong pengecasan 18W dan didatangkan dalam pelbagai kemasan warna sebagai pilihan buat pengguna kelak.
Untuk harga, peranti ini dijangka dipasarkan dengan julat harga sekitar INR10,999 (~RM623) untuk seunit. Setakat ini, Infinix masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung dakwaan ini. Jadi, lebih baik sekiranya kita menganggap maklumat dikongsi masih di peringkat ura-ura.
Sekadar selingan, Infinix juga dikatakan bakal hadir dengan peranti pintar 5G pertamanya dikenali sebagai Infinix Zero 5G. Setakat ini, masih belum ada sebarang tarikh rasmi untuk pengenalannya tetapi ia dijangka tiba beberapa minggu mendatang. Bukan itu sahaja, peranti ini juga dikhabarkan turut bakal ditawarkan untuk pasaran global.
Sumber : Mysmartprice