Desas-desus mengenai siri Black Shark 5 semakin didengari sejak kebelakangan ini. Ia bermula dengan perkongsian Digital Chat Station yang mendakwa ia kelak hadir dengan penambahbaikan menarik berbanding pendahulunya.
Terkini, informasi mengenainya sekali lagi dikongsi menerusi kemas kini oleh Bald Panda di Weibo. Setakat yang diketahui, terdapat dua variasi yang mungkin diumumkan kelak – ini termasuklah Black Shark 5 dan Black Shark 5 Pro.
Menurut perkongsian berkenaan, Black Shark 5 kelak dikatakan hadir dengan paparan AMOLED yang menawarkan resolusi FHD+ dan kadar segar semula 144Hz. Tapi sayangnya, perkongsian berkenaan tidak pula mendedahkan saiz skrin pada peranti secara khusus. Kemudian, ia juga dikatakan hadir dengan cip Snapdragon 888+ sebagai tunjang utama. Di samping, bateri sebesar 4,600mAh yang menyokong pengecasan 120W.
Ini sahaja maklumat berkaitan peranti yang diketahui. Namun begitu, kalau perasan peranti ini seakan meminjam sejumlah spesifikasi yang terdapat pada Black Shark 4S Pro sebelum ini. Buat masa ini, masih belum ada perkongsian lanjut mengenai tarikh pelancaran peranti.
Sekadar selingan, BlackShark 4 Pro akan dilancarkan di Malaysia pada 17 Januari ini. Peranti ini bagaimanapun telah diumumkan di China sekitar Mac tahun lalu. Ia hadir dengan janaan cip Snapdragon 888, memori sehingga 16GB RAM, dan storan sehingga 512GB.
Sementara itu, tidak diketahui mengapa model Black Shark 4S Pro tidak diperkenalkan, sebaliknya Black Shark Malaysia memilih Black Shark 4 Pro untuk pengenalan. Seperti biasa, kami di Amanz akan mengemaskini informasi selanjutnya termasuklah harga jualan untuk pasaran Malaysia kelak.
Sumber : Weibo