Cari @ Amanz

Dua tahun yang lalu, NVIDIA melancarkan siri kad grafik Ampere mereka, yang terdiri daripada NVIDIA GeForce RTX 3060, RTX 3070, RTX 3080 dan RTX 3090. Sehingga kini, sejumlah daripada model ini dilihat hadir dengan penambahbaikan daripada pengenalan siri Ti dan juga Super yang menambahkan jumlah teras grafik, penggunaan memori yang lebih pantas ataupun memori yang lebih banyak.

Menariknya, NVIDIA kini dilihat telah mengemaskini model kad grafik NVIDIA GeForce RTX 3080 mereka dengan penambahan prestasi tambahan dari segi penawaran teras dan juga memori. Jika sebelum ini, kad grafik RTX 3080 hadir dengan 10GB memori GDDR6X, ia kini hadir dengan penawaran memori 12GB GDDR6X dengan kelajuan penghantaran data 915GB/s, berbanding dengan 780GB/s pada model RTX 3080 sebelum ini.

Dalam pada itu, RTX 3080 baru ini juga memperlihatkan jumlah teras CUDA yang lebih tinggi pada 8960 teras, dengan 280 teras Tensor dan 70 teras RayTracing. Dengan perubahan-perubahan ini, penggunaan tenaga kad grafik ini juga dilihat meningkat kepada 350W, berbanding dengan 320W pada kad grafik RTX 3080 asal. Menariknya, ini bermakna bahawa kad grafik ini mempunyai kadar penggunaan kuasa sama dengan NVIDIA GeForce RTX 3080 Ti dan RTX 3090.

Berdasarkan apa yang diketahui juga setakat ini, NVIDIA tidak memperlihatkan model Founders Edition untuk kad grafik ini, dan tanda harga $699 (~RM3000) tidak digunapakai lagi, dan tanda harga kad-kad grafik ini akan ditetapkan oleh pengeluar kad grafik.

Sumber: NVIDIA

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd