Carian
Kamera Utama Vivo V21 5G Menerima Skor 105 Mata Dalam DxoMark
January 12, 2022 Amy Maizuraa

Vivo V21 5G telah diumumkan di Malaysia sekitar Mei tahun lalu dengan tanda harga RM1899 sebuah. Seperti yang diketahui, kebanyakan peranti Vivo di bawah siri ini lebih memfokuskan kepada kemampuan fotografi yang baik. Bagi melihat sejauh mana kemampuannya, DxoMark kini berkongsi laporan untuk kamera utamanya.

Ia menunjukkan kutipan markah untuk peranti adalah sebanyak 105 mata. Dengan ini, ia meletakkan peranti setanding dengan kebolehan kamera pada dua peranti Samsung iaitu Samsung Galaxy Z Flip dan Samsung Galaxy A72. Pecahan markah pula adalah 112 mata untuk kemampuan fotografi, 46 mata untuk kebolehan zum dan 92 mata pula untuk rakaman video.

Pujian diberikan kepada kemampuan kamera menghasilkan gambar dengan dedahan yang baik tidak kira sama ada pada pencahayaan cukup atau sebaliknya. Dalam pada itu, ia juga mempunyai imbangan putih yang baik dan masalah hingar turut dikatakan mampu dikawal dengan baik.

Meskipun begitu, terdapat beberapa kritikan turut diberikan pada penghasilan semula warna yang kadang kala tidak tepat. Seterusnya, sistem autofokus yang tidak konsisten, julat dinamik yang rendah dalam rakaman video dan penghasilan semula warna yang kusam untuk video. Bukan itu sahaja, butiran dan perincian pada gambar juga tidak dipelihara dengan baik.

Sumber : DxoMark

Komen